Jumaat, 14 Ogos 2015 | 3:01pm

LGM komersialkan tayar celup Ekoprena 2 tahun lagi

KUALA LUMPUR: Lembaga Getah Malaysia (LGM) jangka dapat mengkomersialkan tayar celup hijau atau mesra alam berasaskan Ekoprena dalam tempoh dua tahun lagi.

Bagi persediaan pengkomersialan tayar celup itu, LGM semalam menjalin kerjasama dengan Prasarana Malaysia Bhd bagi membolehkan tayar berkenaan dipasang oleh bas RapidKL.

Ekoprena adalah nama perdagangan bagi Getah Asli Terepoksida (ENR) dan ia adalah sejenis getah asli termaju yang diperoleh melalui pengubahsuaian kimia yang dikenali sebagai pengepoksidaan.

Ia dikategorikan sebagai bahan getah mesra alam kerana penghasilannya menggunakan bahan semula jadi, tidak seperti getah sintetik yang dihasilkan daripada sumber petroleum.

Pengerusi LGM, Datuk Wira Ahmad Hamzah, berkata projek kerjasama itu adalah antara usaha di bawah Projek Permulaan (EPP) 4: Mengkomersialkan Ekoprena dan Pureprena dalam program Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).

Tayar celup Ekoprena akan dibuat di kilang Sun Tyre Industries Sdn Bhd dan dipasang pada tayar belakang bas RapidKL.

Katanya, projek yang bermula 2015 hingga 2017 itu terbahagi kepada tiga fasa yang mana fasa pertama membabitkan penggunaan 10 bas RapidKL di laluan Cheras Selatan.

"Fasa berikutnya membabitkan 30 bas dan seterusnya 80 bas bagi fasa ketiga," katanya pada majlis memeterai memorandum perjanjian (MoA) antara LGM dengan Prasarana di Seri Kembangan, hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Pengarah LGM, Dr Mohd Akbar Md Said, Pengerusi Prasarana, Tan Sri Ismail Adam dan Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana, Datuk Azmi Abdul Aziz.

Ahmad berkata, projek bernilai RM1.7 juta itu dipantau oleh Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksana (PEMANDU).

Penghasilan getah komersial Ekoprena membabitkan proses yang sangat teliti bagi menjamin kualiti getah yang dihasilkan.

Pemindahan teknologi itu pada 2010 kepada FELDA Rubber Industries Sdn Bhd dengan kilang pertama memproses Ekoprena secara komersial terletak di FELDA Palong 8, Negeri Sembilan.

"Penyelidikan penggunaan Ekoprena berkaitan tayar dijalankan di LGM dan Pusat Penyelidikan Tun Abdul Razak di United Kingdom.

"Hasil penyelidikan mendapati penggunaan Ekoprena dalam sebatian telapak tayar adalah satu kombinasi unik yang menawarkan rintangan guling yang rendah dan cengkaman basah yang tinggi untuk menjimatkan penjimatan tenaga dan tahap keselamatan," katanya.

Berita Harian X