Sabtu, 15 Ogos 2015 | 12:53pm

Rosyam Nor kekal hos Da'i untuk musim ketiga

KUALA LUMPUR: Sejak musim lalu, Rosyam Nor menerajui program Da'i di TV3. Kini menemui penonton TV3 bermula 16 Ogos ini, Rosyam Nor masih dikekalkan untuk mandat yang sama. Tetapi tidak keseorangan, aktor berkenaan turut menampilkan pengacara tersohor Zainal Ariffin Ismail sebagai pengacara bersama.

Selepas lapan buah negeri dijelajah, perjalanan 10 pendakwah muda terpilih bakal bermula esok. Kembali untuk musim ketiga, Da'i Pendakwah Milenia bakal bersiaran pada setiap Ahad, jam 9 malam di TV3. Mereka bakal berentap untuk bergelar pendakwah milenia sekali gus membawa pulang hadiah utama iaitu wang tunai RM50,000.

Pemenang juga akan turut menerima pakej umrah, sebuah trofi, saham PNB berjumlah RM5,000 dan juga pengalaman bekerjasama bersama Media Prima Bhd. Da'i Pendakwah Milenia menampilkan konsep baharu apabila mencari lima orang peserta lelaki dan lima orang peserta perempuan dan kemudiannya dibahagikan kepada dua kumpulan yang akan dibimbing oleh seorang Murabbi (mentor). Ustaz Elyas Ismail akan menggalas tugas bagi membimbing kumpulan lelaki (Ar-Rijaal) dan Dr Rubiah K Hamzah bagi kumpulan perempuan (An-Nisaa').

Datuk Ustaz Kazim Elias pula bertindak sebagai Mursyid (ketua mentor) yang akan memantau secara keseluruhan prestasi peserta. Peserta akan dikuarantin untuk mendapat tunjuk ajar daripada mentor bagi aktiviti kelas dan pelbagai lagi aktiviti untuk memperlengkapkan lagi kredibiliti dan menyerlahkan lagi kekuatan perseorangan mereka.

Semua peserta akan dinilai secara individu oleh dua juri tetap profesional iaitu Ustaz Harryanto Rizal Rokman dan Ustaz Syarhan Safie berserta seorang lagi juri jemputan yang membawa 60 peratus dan 10 juri awam setiap minggu mewakili 30 peratus dan selebihnya lagi ditentukan oleh juri sosial media.

Peserta Da'i perlu berdakwah secara berhikmah dan menarik perhatian, di mana mereka perlu memberikan sebuah ceramah atau motivasi dengan topik yang diberi dengan cara tersendiri, gaya serta penampilan diri yang unik dan menarik.

"Alhamdulillah, atas sokongan baik yang diterima daripada penonton pada musim lalu, Da'i musim ketiga kini kembali dengan pengisian yang lebih baik dan padat. Kami ingin mempertingkatkan lagi tanda aras program ini dan membuktikan program ini mampu melahirkan pendakwah muda yang berkualiti dan berkebolehan.

"Oleh sebab itu juga, kami menetapkan kriteria di mana peserta selain perlu bijak dan petah berbicara, mereka juga mestilah aktif dalam aktiviti pendidikan, beruniform dan masyarakat. Seiring dengan objektif program ini, kami ingin melahirkan penggerak revolusi dakwah daripada usia muda namun mempunyai persona dan kredibiliti yang dapat menjadi aspirasi buat golongan seusia mereka mendekatkan diri dengan dunia dakwah," kata Sherina Nordin selaku Pengurus Besar Kumpulan, Pengurusan Jenama dan Rancangan TV3 & TV9.

Da'i musim ketiga ini lebih meriah apabila turut ditaja oleh D'herbs Holdings Sdn Bhd selaku penaja utama. Melalui penajaan Da'i tahun ini, D'Herbs akan mengetengahkan tiga produk terbaharu iaitu Air Masyhur, Inai Berherba D'Herbs dan Rani Gel Liner Dherbs.

Episod pertama pada 16 Ogos ini akan memaparkan sesi uji bakat yang telah diadakan dan sesi 'bootcamp' yang dijalankan selama empat hari di Nur Laman Bestari Eco Resort, Ulu Yam.

Berita Harian X