Jumaat, 15 Ogos 2014 | 8:57pm

BMW Malaysia lancar X3 CKD baharu

[email protected]

CYBERJAYA: BMW Group Malaysia memperkenalkan model baharu X3 pemasangan tempatan (CKD) yang didatangkan dalam dua varian, X3 xDrive20i dan X3 xDrive20d yang masing-masing dijual pada RM328,800 dan RM348,800 seunit.

Ketua Pegawai Eksekutif, Dr Gerhard Pils, berkata model itu dipasang di kemudahan milik kumpulan di Kulim, Kedah, akan menokok pilihan rangkaian kenderaan CKD BMW kepada pengguna tempatan.

Sejak diperkenalkan pada 2003, BMW X3 sudah mengukuhkan tapaknya sebagai kenderaan utiliti sukan (SUV) dengan ciri pemanduan dan keselesaan seperti sebuah kereta sekali gus diterima meluas warga Malaysia.

"Kedudukan X3 terus mengukuh sejak itu hinggalah kami memutuskan untuk memasangnya di Kulim pada Januari 2013.

"Sejak itu kami sudah menjual 500 unit BMW X3 xDrive20i dan BMW X3 xDrive20d di negara ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengikut Pils, X3 baharu itu adalah model pertama BMW yang menggunakan enjin diesel BMW TwinPower Turbo yang bukan sahaja menghasilkan lebih kuasa, tetapi menjimatkan minyak dengan ketara.

Enjin diesel generasi baharu pada X3 xDrive20d yang dipadankan dengan kotak gear lapan kelajuan, menghasilkan kuasa 190bhp dan 400Nm tork sekali gus membolehkannya memecut ke 100 km sejam dalam 8.1 saat.

Model ini hanya menggunakan 5.2 liter setiap 100 kilometer.

BMW X3 xDrive20i pula dipadankan dengan enjin petrol empat selinder 2.0 liter yang menghasilkan kuasa maksimum 184bhp, memecut sifar ke 100 km sejam dalam 8.2 saat dan menggunakan 7.2 liter bagi setiap 100 kilometer.

X3 baharu ini didatangkan dengan pilihan warna Alpine White, Black Sapphire dan Mineral Grey manakala X3 xDrive20i turut ditawarkan dengan warna eksklusif Space Grey dan Sparkling Brown.

Berita Harian X