Isnin, 17 Ogos 2015 | 9:46am
LALUAN pesawat Tigana Air Service.

Bangkai pesawat Trigana Air dikesan

MENTERI Pengangkutan Indonesia, Ignasius Jonan (kiri) dan Ketua Pengarah Pengangkutan Udara, Suprasetyo (kiri) pada sidang akhbar di Jakarta, mengumumkan pesawat Trigana Air terhempas di timur Papua. - Foto AFP

JAYAPURA, Indonesia: Sebuah pesawat mencari mengesan bangkai pesawat penumpang Indonesia yang hilang bersama 54 penumpang dan anak kapal, menurut pegawai penyelamat.

Tiada laporan segera berhubung mangsa yang selamat dalam nahas ketika cuaca buruk di kawasan pergunungan di timur Papua.

Pesawat Trigana Air Service itu dalam perjalanan dari ibu negeri Papua, Jayapura, ke bandar Oksibil apabila ia terputus hubungan dengan pihak lapangan terbang Oksibil.

IBU kepada seorang anak kapal pesawat Trigana Air (tengah) yang terhempas semalam, menangis ketika berjalan keluar dari pejabat utama syarikat itu di Jakarta, Indonesia. - Foto EPA

Jurucakap Kementerian Pengangkutan, Julius Barata, menyatakan tiada petunjuk bahawa juruterbang membuat panggilan kecemasan.

Bangkai pesawat itu dikesan kira-kira 12 kilometer dari Oksibil dan Ketua BASARNAS, Henry Bambang Soelistyo, berkata anggota penyelamat sedang bersiap sedia untuk ke lokasi pesawat terhempas menerusi udara dan darat.

Pesawat turboprop ATR42-300 itu membawa 49 penumpang dan lima anak kapal ketika penerbangan yang dijadualkan selama 42 minit itu. - AP

Berita Harian X