Selasa, 23 September 2014 | 9:27pm
Bahagian kepala sebelah kiri murid Tahun 2 berdarah selepas dikatakan terhantuk di tepi meja dalam kejadian di Sekolah Kebangsaan (SK) Kitobu, Inanam, Kota Kinabalu. - Foto BHOnline

Dakwaan guru hentak kepala murid tidak benar

KOTA KINABALU: Dakwaan bahawa seorang guru sekolah rendah di Inanam menghentak kepala seorang murid ke meja sehingga menyebabkan kecederaan di kepala adalah tidak benar, kata Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Jame Alip.

Beliau berkata, murid lelaki Tahun 2 itu sebenarnya terjatuh ketika cuba mengelak guru Bahasa Melayu terbabit menyentuh cuping telinganya pada kira-kira 11 pagi semalam selepas dia didapati tidak menyiapkan kerja sekolah.

"Oleh kerana murid ini cuba mengelak telinganya dipegang oleh guru, murid berpusing ke arah kanan dengan keadaan membelakangkan guru, kedua kakinya bersilang mengakibatkan hilang keseimbangan badan dan kepalanya terhantuk di tepi meja guru," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jame juga berkata, pihak Jabatan Pendidikan Sabah sudah bertemu dan berbincang dengan ibu bapa murid berkenaan untuk memperjelas keadaan sebenar dan mereka berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan.

"Jabatan Pendidikan Negeri Sabah menganggap kes ini telah selesai," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X