Selasa, 18 Ogos 2015 | 12:01am
TAHI bintang yang berjaya dirakamkan di Murillo del Fruto, utara Sepanyol. - Foto AP
PEMINAT melihat pancuran tahi bintang pada ketinggian 2,817 meter di Gunung Sulzfluh, Switzerland. - Foto EPA
KEINDAHAN pancuran meteor yang dirakamkan di Bulgaria. - EPA
METEOR bergerak pada kelajuan kira-kira 212,500 kilometer sejam menghasilkan jaluran cahaya yang memukau peminat astronomi di Schmitten, Jerman. - Foto EPA
ANTARA meteor yang berjaya dirakam di Budapest, Hungary hasil daripada debu komet 109P/Swift-Tuttle. - Foto EPA
PANORAMA pemandangan hujan meteor di Pulau Fehmarn, Jerman berlatar belakang Bima Sakti. - Foto EPA

Pancuran tahi bintang dinanti peminat astronomi


FENOMENA pancuran tahi bintang perseid atau lebih dikenali sebagai 'supermoon' setibanya Ogos setiap tahun pasti menjadi antara acara yang dinanti pengkaji sains angkasa dan peminat astronomi.

Pancuran meteor itu terjadi daripada serpihan debu ekor komet 109P/Swift-Tuttle, yang memasuki lapisan atmosfera bumi pada kelajuan kira-kira 212,500 kilometer sejam (kmj), lalu menyebabkan serpihan batuan ini terbakar dan menghasilkan jaluran tahi bintang yang panjang.

Dianggarkan, sebanyak 60 meteor boleh dilihat dalam tempoh masa satu jam, malah boleh mencecah 100 lebih jika cuaca baik dan terang, tanpa mendung dan awan tebal di langit.

Kewujudan pancuran meteor Perseid ini boleh berlaku di mana-mana bahagian langit tanpa arah yang spesifik dan ia boleh dilihat dengan mata kasar.

JALURAN cahaya meteor hasil dari debu komet Swift-Tuttle dapat dilihat di serata dunia antaranya di Saale, Jerman. - Foto EPA

Waktu terbaik untuk melihat pancuran meteor adalah di antara jam 8 malam hingga awal pagi sebelum bulan dan matahari terbit.

Fenomena yang berlaku pada tanggal 12 dan 13 Ogos setiap tahun itu juga lebih menarik berbanding pancuran meteor lain kerana kadar peratusan yang tinggi ini akan menghasilkan pancuran yang terang dengan bilangan meteor yang banyak pada setiap tahun.

Di sebalik keindahan pancuran meteor ini, fenomena ini dianggap penting bagi pengkaji sains angkasa dan ahli astronomi terutama dalam meneliti mengenai pergerakan komet Swift-Tuttle yang dianggarkan memiliki diameter 26 kilometer.

Komet Swift-Tuttle akan menyempurnakan pergerakannya mengelilingi Matahari selama 130 tahun. Ia ditemui pada 1862 oleh pengkaji astronomi dari Amerika Syarikat, Lewis Swift dan Horace Tuttle. Terhasilnya nama komet terbabit juga diambil sempena nama dua individu yang menemuinya.

Pegawai Penyelidikan Sains Agensi Angkasa Negara (ANGKASA), Mohd Zamri Shah Mastor, menjelaskan warna yang terhasil dalam pancuran meteor Perseid sebenarnya memberi petunjuk mengenai kandungan bahan yang terdapat dalam Swift-Tuttle.

"Ia penting bagi ahli astronomi untuk mengetahui kandungan bahan komet sebagai kajian mereka dalam meneliti saiz dan pergerakannya di orbitnya. Contohnya, nyalaan warna hijau yang terhasil pada pancuran meteor menunjukkan komet itu mengandungi kuprum," katanya.

PEGAWAI Penyelidikan Sains Agensi Angkasa Negara (ANGKASA), Mohd Zamri Shah Mastor. - Foto NSTP

KEADAAN langit yang cerah di Menzingen, Switzerland membantu peminat astronomi melihat meteor dengan jelas. - Foto EPA

Beliau juga mengakui komet Swift-Tuttle yang memiliki saiz besar itu jika melepasi lapisan atmosfera bumi boleh mengakibatkan kemusnahan 'dahsyat' di kawasan yang ditimpanya serta memberi kesan terhadap iklim bumi.

Bagaimanapun, katanya, meteor yang terhasil daripada debu komet itu tidak memberi sebarang ancaman kepada iklim bumi.

"Biasanya, debu tinggalan komet yang melalui lapisan atmosfera bumi akan musnah atau terbakar dengan sendirinya kerana saiznya yang jauh lebih kecil dan ia tidak membahayakan bumi," katanya.

Sementara itu, seorang ahli astronomi British, Dr Brian G Marsden seperti dipetik dalam temu bual bersama The News York Times, meramalkan kemungkinan komet Swift-Tuttle akan mula menghampiri semula bumi pada Ogos 2026.

Biarpun tidak menjangkakan apa yang akan terjadi ketika itu, Brian yang mengetuai Pusat Harvard-Smithsonian bagi Astrofizik berpusat di Cambridge, Massachusetts, meramalkan beberapa kemungkinan jika komet terbabit berjaya melepasi lapisan atmosfera bumi.

Awan debu akan menyekat cahaya matahari, gangguan iklim global dan kepupusan besar-besaran di bumi, antara implikasi buruk yang diramal Brian, memaksa beliau meminta supaya semua ahli astronomi memantau pergerakan komet Swift-Tuttle di angkasa.

Beliau turut mencadangkan supaya teknologi roket nuklear digunakan bagi memusnahkan komet berkenaan, namun mengakui ia bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan.

Berita Harian X