Selasa, 18 Ogos 2015 | 12:04am

Adik angkat P Ramlee pencipta lagu Perwira


Perwira
Dikaulah harapan hati
Penghibur kala sunyi
Pergilah berbakti
Membela pertiwi
Perwira
Janganlah kekanda bimbang
Untuk pergi berjuang
Andainya kau gugur
Jasamu dikenang

ITULAH bait lagu Perwira yang sering kali berkumandang di radio terutama menjelang sambutan Hari Kebangsaan.

Bagaikan 'berhantu' lagu nyanyian Seniwati, Saloma ini tidak pernah menjemukan halwa telinga sesiapa sahaja yang mendengarnya.

  Lagu yang digubah pada 1965 menerusi salah satu babak filem Masam-Masam Manis, arahan Tan Sri P Ramlee yang dilakonkan Sharifah Hanim Tuanku Syed Hamzah ketika membawa watak Cikgu Norkiah itu, mempunyai cerita istimewa di sebalik penghasilannya.

  Pencipta lagu berkenaan, Datuk Ainul Jamal Abd Rahman, 80, berkata lagu Perwira itu dihasilkan bukan sahaja ditujukan kepada askar yang bertugas mempertahankan negara, tetapi pengertiannya cukup luas yang boleh disesuaikan dengan banyak situasi.

AINUL Jamal (kanan) bersama isterinya, Datin Azirah Dauh, 63, memainkan semula piring hitam lagu ciptaannya. - Foto Mikail Ong

  Anak jati kelahiran Taiping, Perak itu berkata, beliau diamanahkan oleh P Ramlee yang juga abang angkatnya, untuk menghasilkan satu lagu dalam babak filem berkenaan dan sekali gus untuk Rejimen Askar Melayu yang kebetulan mahu mengadakan lawatan ke Studio Merdeka, Hulu Klang.

  Beliau berkata, ketika dimaklumkan mengenai lawatan Askar Melayu yang bakal bertugas sebagai tentera pengaman di Congo itu, pihak produksi sedang sibuk untuk menyiapkan penggambaran filem Masam-Masam Manis dan dalam masa sama P Ramlee tidak mahu jadual penggambaran tergendala.

  Ainul Jamal berkata, P Ramlee meminta beliau menyiapkan satu lagu yang bersesuaian dengan lawatan tentera pengaman berkenaan dan pada masa sama ia turut dimasukkan dalam babak filem itu.

  "Adik you tolong bikin dia punya 'pantun', itulah yang diungkapkan Abang Ramlee kepada saya dan ia masih kekal dalam ingatan hingga hari ini. 'Pantun' adalah bahasa yang digunakan Abang Ramlee pengganti perkataan lagu.

  "Abang Ramlee memaklumkan ada sekumpulan tentera pengaman akan datang melawat studio penggambaran dan minta saya buat satu lagu yang bersesuaian. Ketika itu saya sudah hasilkan satu lagu namun terpaksa menggantikan lagu lain yang bersesuaian dengan kedatangan tentera," katanya. 

AINUL Jamal menunjukkan kaset dan piring hitam P Ramlee yang menampilkan lagu ciptaannya. - Foto Mikail Ong

  Ainul Jamal berkata, beliau mengambil tiga hari untuk menyiapkan lagu berkenaan dan selepas diperdengarkan kepada P Ramlee, lagu berkenaan dipersetujui untuk dimasukkan dalam satu babak filem berkenaan.

  Bapa kepada enam anak ini berkata, selain pencipta lagu, beliau juga bertindak sebagai penolong pengarah filem berkenaan memandangkan P Ramlee berlakon dalam filem itu.

   "Abang Ramlee juga setuju bahawa lagu berkenaan dinyanyikan Saloma. Namun, pada awalnya Saloma gagal untuk menjiwai lagu berkenaan sehingga menyebabkan rakaman lagu Perwiraku dibuat 10 kali sebelum ia siap.

  "Kerana sudah letih, Saloma juga tiada 'mood' untuk menyanyi sehingga beliau menangis di belakang pentas kerana gagal untuk menjiwai lagu itu dan minta direhatkan sebentar.

 "Saya memujuk Saloma dengan meminta beliau menjiwai lagu berkenaan dengan cara saya, bukannya dengan cara abang Ramlee dan abang Ramlee sendiri menegur Saloma supaya menyanyikan dengan cara yang saya kehendaki," katanya.

AINUL Jamal ketika zaman mudanya aktif sebagai pemain saksofon. - Foto Mikail Ong

  Ainul Jamal berkata, kos pembikinan filem dan lagu pada masa itu memerlukan belanja besar dan disebabkan itu walaupun rakaman kali ke-10 masih tidak begitu memuaskan hati, namun P Ramlee mahu ia dipakai bagi menjimatkan kos.

  "Selepas mendapat 'mood' untuk menyanyikan lagu itu, Saloma menawarkan diri untuk membuat rakaman semula, namun Abang Ramlee menjelaskan ia sudah memadai kerana sudah dibuat 10 kali.

  "Jika diamati betul-betul di pengakhiran lagu berkenaan ada bunyi kayu drum bergolek kerana pemain drum berkenaan terlepas 'stick' di penghujung lagu, namun ia tidak mencacatkan keseluruhan rakaman lagu itu," katanya.

 Menurut Ainul Jamal, pasukan tentera yang melawat studio ketika itu turut terhibur dengan lagu berkenaan dan ia sekali gus menaikkan semangat mereka untuk memulakan tugas sebagai tentera pengaman di Congo.

  "Ramai yang beranggapan lagu Perwira ini ditujukan kepada tentera sahaja. Tanggapan itu salah sama sekali kerana saya mencipta lagu ini dengan pengertian yang cukup luas.

  "Tanggapan orang Melayu, menganggap perwira itu sebagai pahlawan.

AINUL Jamal (kanan) meluangkan masa bersama isterinya, Datin Azirah Dauh, 63, (dua dari kanan) dan anaknya Ainul Haslinda Ainul Jamal, 41, (dua dari kiri) serta cucunya Muhammad Aliff Mohd Nasir, 10, (duduk) bermain piano di rumahnya di Taman Tun Sardon, Bukit Gelugor. - Foto Mikail Ong

Justeru, pengertian pahlawan itu cukup luas bukan hanya kepada seorang askar, polis, atau pasukan keselamatan. Wartawan juga seorang perwira kerana mereka berjuang dalam medan mereka sendiri memberi maklumat kepada orang ramai.

  "Seorang pelakon, ahli muzik, doktor, peguam, guru termasuk ibu bapa juga adalah pewira dalam konteks perjuangan masing-masing.

Cumanya, bait lagu itu yang ada menyentuh mengenai berjuang, gugur, medan perang, menyebabkan ia sering dianggap sinonim dengan askar," katanya.

  Bekas pegawai kerajaan itu berkata, beliau banyak mencipta lagu untuk P Ramlee antaranya, Do Re Mi dan Kisah Rumahtangga yang masih popular sehingga ke hari ini.

  "Selepas lagu Perwiraku berjaya dirakam oleh syarikat rakaman EMI abang Ramlee menghantar 100 keping piring hitam kepada pasukan tentera berkenaan di Congo," katanya.

Berita Harian X