Selasa, 18 Ogos 2015 | 1:37pm

Nahas Trigana: Kotak hitam pesawat ditemui

PENOLONG Operasi BARANAS, Heronimus Gurum menunjukkan lokasi nahas pesawat di Papua. - Foto EPA

JAKARTA: Pasukan penyelamat sudah menemui kotak hitam pesawat Trigana Air yang terhempas di kawasan pergunungan Papua kelmarin, kata pegawai jabatan pengangkutan.

"Pada jam 1.40 tengah hari (waktu tempatan) kotak hitam pesawat Trigana Air ditemui," kata jurucakap Kementerian Pengangkutan, Julius Arivada Barata.

Terdahulu, Badan Mencari Dan Menyelamat Nasional (BASARNAS) berkata pesawat turboprop ATR-42-300 itu mungkin merempuh puncak gunung sebelum terhempas ke jurang di Gunung Bintang, kira-kira tujuh batu nautika dari Oksibil.

ATR ialah syarikat usaha sama antara Airbus dan Alenia Aermacchi, anak syarikat syarikat aeroangkasa Itali, Finmeccanica.

Sementara itu, Pengarah Operasi BASARNAS, Heronimus Guru, berkata semua 54 penumpang pesawat itu disahkan terkorban.

Ketika nahas, ada 44 penumpang dewasa, lima kanak-kanak dan lima kru dalam pesawat itu. - Reuters

Berita Harian X