Selasa, 18 Ogos 2015 | 5:39pm

Rekod keselamatan Trigana Air menjadi perhatian

SEJAK ditubuhkan pada 1991, syarikat penerbangan Trigana Air Service sudah merekodkan 19 kali kemalangan udara. - Foto Reuters

KUALA LUMPUR: Sejak ditubuhkan pada 1991, syarikat penerbangan Trigana Air Service sudah merekodkan 19 kali kemalangan udara, dengan lapan kes membabitkan pesawat hilang sementara 11 lagi rosak teruk, termasuk insiden terbaharu di kawasan pergunungan di timur Papua, Ahad lalu.

Trigana Air yang mengendalikan 15 pesawat, terbang ke 21 destinasi di Indonesia. Ia adalah antara syarikat penerbangan Indonesia yang dihalang terbang di ruang udara Eropah sejak 2007.

Berdasarkan rekod nahas penerbangan dikeluarkan Flightglobal Aviation Connected (FAC), insiden terburuk dan paling tragik pernah menimpa pesawat syarikat terbabit adalah pada 17 November 2006.

Ketika itu, pesawat milik syarikat berkenaan, Trigana DHC-6 Twin Otter merempuh Gunung Gergaji ketika melalui laluan Muli-Illaga dan membunuh sembilan penumpang serta tiga anak kapal.

Sebelum insiden pada Ahad lalu, ada satu kemalangan membabitkan syarikat itu yang berlaku pada 11 Januari lalu, bagaimanapun ia tidak membabitkan kematian.

Insiden pada awal tahun ini membabitkan pesawat jenis DHC-6 Twin Otter yang hilang kawalan selepas mendarat di lapangan terbang Enarotali Indonesia di Papua, menyebabkan ia terkeluar dari landasan dan beberapa strukturnya rosak.

Sebelum itu, pada 11 Februari 2010, kemalangan membabitkan sebuah lagi pesawat jenis ATR 42-300, yang dikesan berpunca daripada masalah enjin kiri pesawat.

Rekod FAC turut menunjukkan bahawa 11 daripada 19 kemalangan membabitkan pesawat syarikat Trigana Air itu berlaku ketika mendarat, manakala hanya tiga saja insiden ketika dalam perjalanan.

Antara jenis pesawat milik syarikat Trigana yang hilang atau rosak teruk dalam kemalangan sejak 1992 termasuk satu jenis Antonov An-72 dan ATR 42-300, 13 pesawat jenis DHC-6 Twin Otter dan tiga jenis Fokker F27s.

Dalam insiden terbaharu ada Ahad lalu itu, pesawat Trigana Air yang membawa 54 penumpang termasuk anak kapal dalam perjalanan dari ibu negeri Papua, Jayapura ke bandar Oksibil terputus hubungan dengan pihak lapangan terbang Oksibil.

Semua mayat mangsa nahas sudah ditemui pasukan menyelamat pagi tadi dan kotak hitam yang turut ditemui di lokasi nahas akan diteliti dan disiasat Kementerian Pengangkutan Indonesia.

Berita Harian X