Rabu, 24 September 2014 | 8:02am

Malaysia bidas negara maju mungkir janji bantu kurangkan intensiti pelepasan gas karbon - Najib

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyampaikan ucapan pada Persidangan Perubahan Iklim 2014 di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di New York, Amerika Syarikat, hari ini. - Foto EPA
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyampaikan ucapan pada Persidangan Perubahan Iklim 2014 di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di New York, Amerika Syarikat, hari ini. - Foto EPA

NEW YORK: Datuk Seri Najib Razak membidas negara maju kerana mungkir janji untuk membantu negara membangun mengurangkan intensiti pelepasan gas karbon dioksida.

Pernyataan tegas itu dibuat Perdana Menteri pada Persidangan Perubahan Iklim 2014 di Ibu Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di sini.

Dalam ucapannya, Najib berkata, pada persidangan di Copenhagen, enam tahun lalu, Malaysia mengumumkan akan mengurangkan intensiti pelepasan karbon dioksida bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sehingga 40 peratus menjelang 2020.

Dalam tempoh enam tahun lalu, Malaysia sudah pun mengambil langkah yang jelas ke arah masa depan yang lebih bersih.

Malah, Malaysia kini mempunyai ekonomi yang lebih mapan dan campuran tenaga yang lebih seimbang, tetapi kemajuan itu terpaksa dibayar dengan kos yang tinggi.

Namun, kata Perdana Menteri, di sebalik kesukaran itu, Malaysia tetap melaksanakan janjinya.

Malaysia sudah pun mengurangkan intensiti pelepasan karbon dioksida bagi KDNK sehingga lebih 33 peratus dan berada pada landasan yang baik untuk mencapai sasaran 40 peratus menjelang 2020.

Bagaimanapun, Najib menjelaskan sasaran yang dibuat di Copenhagen itu tertakluk kepada penerimaan pembiayaan dan pemindahan teknologi dari negara maju.

"Namun, syarat itu tidak dipenuhi. Kami tidak menerima bantuan yang dijanjikan," katanya.

Perdana Menteri yakin banyak lagi boleh dicapai jika janji yang dibuat di bawah konvensyen itu ditunaikan.

Sehubungan itu, Najib berharap kali ini semua negara sepatutnya komited dengan mengambil tindakan berterusan bagi mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida.

Beliau berkata, Malaysia sebagai negara Asia yang pesat membangun, telah membuktikan bahawa pertumbuhan ekonomi tidak semestinya bergantung kepada pelepasan karbon dioksida.

Najib turut menyenaraikan tindakan yang sudah diambil Malaysia antara lain memperkenalkan dasar baru untuk menggalakkan penggunaan kenderaan cekap tenaga dan projek kecekapan tenaga sektor pembinaan.

Selain itu, Akta Tenaga Boleh Diperbaharui diluluskan dan lebih banyak hutan simpanan baru diwartakan.

Berita Harian X