Khamis, 20 Ogos 2015 | 12:04am
ANTARA koleksi yang dijual di Butik KitaKita di Bukit Damansara. - Foto Munira Abdul Ghani

Tekad 4 wanita martabat kraf tangan tempatan


CITA rasa tempatan sememangnya, ada kelas dan keunikan tersendiri. Lantaran itu, empat wanita iaitu Nori Abdullah, Mona Jamaluddin, Hana Jamaluddin dan Pam Shahril tampil memartabatkan industri batik dan kraftangan tempatan.

   Bagi Nori, seiring semangat perjuangan meneruskan Yayasan Budi Penyayang Malaysia (Penyayang) yang diusahakan ibunya, Allahyarham Tun Endon Mahmood, beliau penuh yakin sepakat mengorak langkah bersama dua kakak iparnya, Mona dan Hana serta saudaranya, Pam melahirkan pusat jualan kraf dan kafe, KitaKita.

   Langkah anak kepada pencinta batik ini begitu rancak dengan matlamat, mengangkat nilai tradisi agar hasil seni itu tersebar ke seluruh peradaban dunia.

   Ternyata, Nori mengikut jejak arwah ibu yang sepanjang hayatnya giat memberi nafas baharu kepada industri batik negara, selain pelbagai pendedahan untuk melonjakkan nama negara dalam industri batik.

   Namun, beliau mempunyai perancangan lebih luas, bukan saja memartabatkan kraftangan batik tetapi mencakupi produk kraftangan tempatan yang lain.

   Malah, semangat dan keterujaan untuk menjulang nilai tradisi tempatan di mata dunia luar ini bukan saja diwarisi Nori tetapi juga ada pada Mona, Hana dan Pam dalam kerjasama bersaudara ini.

   Lalu, masing-masing berkongsi aspirasi sama dan gigih membangunkan KitaKita serta memastikan ia memenuhi matlamat untuk meningkatkan minat masyarakat tempatan dan orang luar terhadap hasil kraf tempatan.

PEMILIK Butik KitaKita, (dari kiri) Nori Abdullah, Mona Jamaluddin, Hana Jamaluddin dan Pam Shahril pada majlis pelancaran di Bukit Damansara. - Foto Munira Abdul Ghani

Hobi kepada perniagaan

Bermula hanya sebagai hobi, keempat-empat wanita ini mendapat idea untuk lebih serius dalam memasarkan produk tempatan. Justeru, pada Disember 2010 lalu, mereka mula menawarkan produk batik yang terbaik, aksesori menarik, tenunan bermutu tinggi, cenderahati dan kraftangan unik, malah fabrik serta hiasan rumah terkini.

Atas minat mendalam, mereka menjalinkan hubungan dengan pengusaha kraf tempatan dan mengembangkan butik berkenaan dari jualan barang perhiasan serta produk gaya hidup hingga menjadi perniagaan yang turut membuka kafe.

   Kata Nori, KitaKita adalah simbolik kepada sebuah syarikat keluarga dan perusahaan berakar umbi pada tanggungjawab sosial yang menggiatkan promosi, pembangunan, serta pemuliharaan kraf tempatan.

   Ini kerana beliau percaya, kraf melambangkan sesuatu kebudayaan dan masyarakat. Justeru, semua itu diilhamkan untuk mempamerkan kecantikan, kepelbagaian dan daya kreatif kraftangan Malaysia.

   Sri kandi budaya dan ibu kepada tiga anak lelaki ini begitu bersungguh menanam minat masyarakat untuk mencintai budaya tempatan.

PUSAT jualan kraf dan kafe KitaKita di Bukit Damansara. - Foto Munira Abdul Ghani

Seronok kongsi idea

Begitu juga Mona, Hana dan Pam, tidak jemu berkongsi ilham mengenai keunikan serta keistimewaan produk kraf tempatan, sekali gus memupuk masyarakat mencintai identiti tempatan.

    Mona berkata, demi minat dan cinta terhadap kraf tempatan serta keinginan untuk melihat hasil seni dan reka bentuk Malaysia menjadi sesuatu kebanggaan rakyat negara ini, keempat-empatnya tidak berpaling belakang.

    Pengalaman berniaga bersama, katanya cukup menyeronokkan. Apatah lagi, mereka bersaudara dan sudah rapat serta saling memahami sejak dulu lagi.

"Seronok dapat menjalankan aktiviti perniagaan bersama keluarga sendiri. Kami berkongsi idea dan pendapat sama, jadi ia memudahkan sebaran urusan.

Saya berhenti kerja kerana mahu fokus kepada perniagaan ini. Harapan kami, KitaKita akan dikenali di luar negara. Malah, kami merancang untuk membuka cawangan di luar negara tetapi masih dalam perbincangan," katanya.

   Katanya, untuk adik beradik berniaga, memerlukan persefahaman dan kesepakatan bersama. Bercanggah idea adalah perkara biasa dalam mendapatkan hasil yang baik.

PRODUK seramik di Butik KitaKita. - Foto Munira Abdul Ghani

Kekuatan KitaKita

Perjalanan keempat-empat saudara setakat ini begitu menarik dan kadangkala mencabar. Jika sewaktu KitaKita baharu ditubuhkan, tanggapan orang ramai terhadap barang tempatan berada pada tahap yang tidak menggalakkan kini, ia semakin mendapat kepercayaan dan perhatian ramai.

   Hana yang bertindak sebagai Pengarah Pengurusan KitaKita, berkata kisah dan sejarah bagi pelbagai barangan kraf, termasuk songket hingga ke barang kemas, hasil piuter mahupun anyaman yang dijual di butik dan kafe itu adalah kekuatan bagi mereka.

   Katanya, butik dan kafe itu turut mempunyai gabungan tenaga kerja yang berdedikasi dan minat terhadap falsafah KitaKita. Malah, rajin memupuk hubungan yang akrab dengan pelanggan mahupun pembekal.

   "Sekarang, kita boleh juga berkongsi minat dan perasaan cinta kami mengenai makanan tempatan serta cerita asal usul yang berkaitan dengannya.

Malah, dengan adanya kafe, kita dapat memperkenalkan kraf Malaysia dengan lebih meluas. Sebagai contoh, apabila pengunjung memesan Laksa Sarawak, ia akan dihidangkan dalam mangkuk rekaan Nori Kebaya, sekali gus memperlihatkan keunikannya.

   "Sudah tentu segala urusan lebih lancar menerusi konsep makan dan beli belah. Ini kerana aktiviti makan dan minum juga menjadi pelengkap buat pengalaman budaya Malaysia". katanya penuh yakin dengan konsep gabungan butik dan kafe ditampilkan.

PELANCARAN Butik KitaKita di Bukit Damansara. - Foto Munira Abdul Ghani

Jadi landasan pengusaha tempatan jual hasil rekaan

Bermula secara kecil-kecilan, KitaKita kini sudah berkembang lebih tiga kali ganda dari kedai asal. Terletak di Bukit Damansara, butik dan kafe itu kini dapat memenuhi pengalaman cita rasa pengunjung untuk membeli belah barangan tempatan terpilih buatan eksklusif dan juga menikmati juadah selera Malaysia.

   Nori berkata, sejak awal lagi, mereka berusaha secara berterusan untuk mewujudkan landasan dan model baharu serta mampan untuk pengusaha kraf tempatan.

"KitaKita juga membawa persepsi yang lebih menghargai kraf dan kesenian Malaysia serta bekerja bersama individu mahupun organisasi yang sehaluan dalam meningkatkan kesedaran serta minat orang ramai terhadap rekaan tempatan," katanya.

   Mereka membawa model perniagaan yang memberikan landasan bagi pengusaha kraf tempatan untuk menjual hasil rekaan, di samping mendapat pendedahan baharu.

KHAIRY Jamaluddin Bakar bersama isteri, Nori Abdullah pada pelancaran Butik KitaKita. - Foto Munira Abdul Ghani

Gabungan lama dan baharu

Kata Nori, jika ruang dan peluang dapat diwujudkan dengan cara yang menarik serta menekankan kualiti, pengusaha dan juga peminat akan mendapat manfaat.

Bukan itu saja, kesedaran terhadap rekaan tempatan akan meningkat manakala hasil rekaan sendiri akan menyerlah.

   "Di negara seperti Malaysia yang kaya dengan kepelbagaian kesenian dan kebudayaan, tiada sebab mengapa kita tidak sepatutnya mencintai serta berbangga dengan hasil kraf tempatan. Barang yang kita reka melambangkan tradisi, warisan serta cara hidup kita yang begitu unik, sekali gus menyerlahkan identiti kita berbanding orang lain. Kita cuma perlu tahu menggabungkan yang dulu dengan baharu supaya tetap segar dan relevan," katanya.

   Beliau berkata, perniagaan ini cukup menyeronokkan kerana sejak kebelakangan ini ramai kalangan muda yang sudah mula bangga dengan identiti tempatan.

"Ini adalah perkembangan yang harus diiktiraf dan digalakkan, malah KitaKita turut berbangga dapat menyumbangkan sedikit sebanyak terhadap perubahan ini," katanya.

ANTARA koleksi tempatan yang dijual di Butik KitaKita. - Foto Munira Abdul Ghani

Tersenarai destinasi unggul

Lebih istimewa, KitaKita sudah pun disenaraikan sebagai destinasi unggul buat barang tempatan dari pengusaha serta seniman terpilih, mengikut LUXE Guide, iaitu siri panduan antarabangsa yang terkenal di dalam edisi Kuala Lumpur.

Berkisar berkenaan perancangan hadapan, mereka sepakat untuk memperkembangkan lagi produk di bawah jenama KitaKita dan menambahkan lebih banyak koleksi dari segi pakaian, aksesori, perhiasan serta kelengkapan rumah.

   Selain berhasrat, menggalakkan lagi pembelian kraf buatan Malaysia dengan kemudahan penjualan melalui Internet, termasuk dalam portal GEMFIVE dan menyediakan perkhidmatan penghantaran untuk pelanggan kedai serta kafe.

Berita Harian X