Khamis, 20 Ogos 2015 | 12:10am
GENG Pancing Hulu Langat puas menaikkan ikan sebarau.

Siakap air tawar Tasik Kenyir

WAK Lan (kanan) menunjukkan ikan siakap yang berjaya di tangkap di Tasik Kenyir.

HULU TERENGGANU: Sejak digembar-gemburkan mengenai toman dan sebarau Tasik Kenyir semakin berkurangan, Geng Pancing Hulu Langat seakan-akan tawar hati hendak menduga penghuni tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara itu.

Apa tidaknya, setiap kali hendak merasai aksi ganas sang toman dan sebarau seperti 10 tahun lalu di tasik berkenaan, selalunya hampa. Tiada lagi tarikan yang boleh meruntun jiwa, sebaliknya hanya sekadar ikan kecil seperti kejor, lampam sungai dan baung akar saja yang ada.

Namun, cerita siakap Kenyir yang beratnya mencecah sehingga 20 kilogram (kg) pernah didaratkan ketika program Boat On The Road (BOTR) oleh BH menyemarakkan lagi hasrat Mislan Mohd Jawahir (Wak Lan Kajang), Hasbullah Che Azmi, Yeop, Hairuszaman, Wak Marzuki dan Satish.

Menurut Wak Lan, tambahan pula dalam perjalanan kali ini, mereka menyusuri Sungai Terenggan dan muara Sungai Cacing di Taman Negara, sekali gus memberi peluang yang besar untuk memperoleh tangkapan lumayan.

"Kalau ada rezeki, mampu memperoleh kelah sesat di muara Sungai Cacing. Aku pernah dapat kelah merah hampir 3kg ketika menyertai trip kira-kira tiga tahun lalu, tetapi sejak kebelakangan ini, banyak cerita aku dengar yang Tasik Kenyir kurang ikan," katanya kepada Joran.

WAK Lan menunjukkan ikan baung yang berjaya dinaikkan.

Tabur kepala sawit peram

Apa pun yang cerita yang dikhabarkan itu, Geng Pancing Hulu Langat tetap meneruskan perjalanan ke Tasik Kenyir. Selepas urusan mendapatkan permit di Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) di pintu masuk Taman Negara selesai, mereka terus ke muara Sungai Cacing untuk melabuhkan rumah bot.

"Dengan menaiki dua bot gentian kaca, aku bersama Hasbullah, Hairuszaman dan Marzuki terus ke Sungai Terenggan untuk menjejak lubuk yang sesuai untuk dipancing, manakala yang lain diminta menabur kelapa sawit peram sebagai umpan di sekitar kawasan rumah bot kerana malamnya kami akan memancing baung dan belida.

"Selepas empat jam menyusuri Sungai Terenggan, kami balik ke rumah bot bersama beberapa sebarau yang sempat kami lemparkan gewang sesudu. Begitu juga lampam sungai dan kejor untuk juadah makan malam.

ANTARA hasil tangkapan sepanjang ekspedisi.

Sebarau, baung rentap joran

"Di rumah bot, Yeop dan Satish memperoleh sebarau dan baung. Walaupun saiznya tidak cukup besar, tetapi sudah cukup memberikan sedikit kepuasan," katanya.

Pada hari kedua, Wak Lan bersama Hasbullah, Hairuszaman, Yeop dan Satish menjejaki beberapa lubuk yang sudah ditabur kelapa sawit peram. Di situ mereka memancing hingga jam 3 petang.

Tiba-tiba joran Hasbullah disentap rakus, selepas dikarau seekor kejor seberat 500 gram melekat, apa lagi ketawa si Hasbullah. Kira-kira 45 ekor ikan berkenaan berjaya dijinakkan.

"Aku dan Hairuszaman berjaya mendaratkan kelah bersaiz sederhana tetapi sudah cukup memadai," katanya.

WAK Lan bersama ikan sebarau yang dinaikkan.

Berpesta baung

Pada malamnya, Geng Pancing Hulu Langat berpesta baung. Ikan kecil dilepaskan semula. Hanya ikan seberat 500 gram hingga 1kg didaratkan.

"Kekili aku terus direntap ganas dan tidak pasti siapakah yang empunya angkara. Awalnya aku hendak memancing belida, rupa-rupanya siakap air tawar yang mengena.

"Berpeluh juga melayannya kerana kawasan berkenaan banyak tunggul kayu balak, dibuatnya ikan melarikan diri ke sana, mahu berputih mata, tersangkut jika tidak pandai. Akhirnya siakap seberat 7kg berjaya ditundukkan," katanya.

Hasrat untuk melayan siakap Kenyir terlaksana dan Geng Pancing Hulu Langat akan datang lagi, tetapi kali ini dengan impian besar untuk menjejaki arapaima gigas.

Berita Harian X