Jumaat, 21 Ogos 2015 | 3:00pm

Ahli UMNO perlu pertahankan pemimpin daripada serangan - Ismail Sabri

ANGGOTA Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Besut hari ini. - Foto Rozainah Zakaria
ANGGOTA Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Besut hari ini. - Foto Rozainah Zakaria

BESUT: Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyeru ahli UMNO bersatu menangkis serangan politik ke atas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak.

Ismail berkata cabaran yang dihadapi UMNO hari ini cukup getir kerana bukan saja menerima tentangan dari luar malah juga dalam parti sendiri walaupun perkara itu bukan sesuatu yang baharu kepada UMNO.

"UMNO hari ini hadapi ujian amat getir sekali, apa yang berlaku hari ini, bukan saja pembangkang, ahli sendiri ada krisis kepimpinan, meragui apa yang berlaku dalam UMNO.

"Kita menyerang sesama sendiri, serang pemimpin, soal presiden, tiada yang bercakap soal pembangkang, musuh UMNO adalah pembangkang," katanya ketika majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Besut hari ini.

Ismail berkata ketika ini pembangkang juga lemah dan menghadapi pelbagai krisis dan ia adalah peluang terbaik bagi UMNO memperkuatkan lagi parti bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata serangan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan isu dana RM2.6 bilion sengaja dibangkitkan pembangkang dan media asing yang mempunyai agenda untuk melemahkan pemimpin negara.

Katanya anggota UMNO tidak seharusnya berasa lemah dan terancam dengan asakan isu tersebut sebaliknya perlu memberi keyakinan dan kepercayaan penuh kepada Najib untuk kekal menerajui negara ini.

"Ini semua cerita karut untuk burukkan Datuk Seri Najib. Hal ini masih dalam siasatan audit Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC). PAC yang diwujudkan untuk siasat bukan daripada BN saja malah anggota pembangkang juga ada dalam PAC," katanya.

Menurutnya persetujuan Perdana Menteri terhadap penubuhan PAC membuktikan beliau telus dalam siasatan isu 1MDB. -BERNAMA

Berita Harian X