Jumaat, 21 Ogos 2015 | 6:23pm

F1: Alonso akui patut tinggalkan Ferrari lebih awal


Pemandu McLaren, Fernando Alonso . - Foto AP

SILVERSTONE: Juara dunia dua kali, Fernando Alonso percaya dia mampu menjulang beberapa lagi kejuaraan dunia Formula Satu (F1) jika meninggalkan Ferrari lebih awal.

Pelumba berusia 34 tahun itu memenangi gelaran dunia pertamanya sedekad lalu dan dijangka menampilkan dominasi namun sebaliknya terjadi selepas dia meninggalkan Renault untuk menyertai McLaren.

Kariernya bersama Ferrari bermula pada 2010 dan disebalik persembahan meyakinkan, hanya tiga gelaran naib juara berjaya dimenangi sepanjang lima tahun bersama gergasi permotoran Itali itu sebelum menyertai McLaren Honda, musim ini.

Ketika ditanya adakah dia sepatutnya meninggalkan Ferrari lebih awal, Alonso memberitahu CNN; "Mungkin ya. Jentera langsung tidak kompetitif dan keadaan bertambah sedih dan sedih.

"Jadi mungkin satu atau dua tahun adalah perkara yang terbaik, namun kamu tahu kami cuba melakukan yang terbaik dan bertarung berhabis-habisan dalam setiap perlumbaan.

"Selepas lima tahun bersama Ferrari, berada di kedudukan kedua setiap masa, saya fikir ia tidak cukup bagus untuk saya," kata pelumba kelahiran Sepanyol itu.

Alonso ketika ini bergelut bersama jentera Honda dan menghuni kedudukan ke-15 keseluruhan dengan hanya mengumpul 11 mata kejuaraan.

"Saya tidak mahu mengalah dan saya sentiasa mahu percaya ia bukan mustahil dan terus mengekalkan impian," kata Alonso.

"Tahun lalu, saya menyedari dengan dominasi Mercedes, adalah mustahil untuk mencatat kemenangan bersama Ferrari dalam jangka masa pendek jadi projek baru ini adalah idea yang terbaik.

"McLaren adalah projek yang berisiko kerana mereka benar-benar baharu, namun kami adalah satu pasukan, kami menang dan kalah bersama." - Agensi

40 dibaca
Berita Harian X