Sabtu, 22 Ogos 2015 | 12:04am

Que Haidar lebih garang daripada Linda Jasmine


BERKAHWIN dengan guru tari terkenal, Linda Jasmine pada 14 Februari 2009, Que Haidar kini menunjukkan sisi berbeza, seiring dengan kematangan dirinya.

Pada usia mencecah 36 tahun, Que Haidar atau nama penuhnya, Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar, kini bukan sahaja bergelar suami tetapi dia sudah memikul tanggungjawab dan amanah berharga sebagai bapa.

Sebelum kehadiran dua puteri comelnya, Tengku Ratu (akan genap enam tahun pada 26 Oktober depan) dan Tengku Cleopatra (tiga tahun), Que terlebih dahulu bergelar bapa segera kepada Qalif, anak hasil perkahwinan pertama isterinya.

Bagi Pelakon Harapan lelaki, Festival Filem Malaysia (FFM) ke-19 menerusi filem Castello (2006) itu, kehidupan peribadinya selepas berkahwin cukup indah dan tidak boleh digambarkan dengan kata-kata.

"Tak tahu nak terangkan macam mana. Tapi, kehidupan saya kini bersama Linda dan anak-anak saling melengkapi. Kalau balik rumah selepas komitmen kerja dan anak sudah tidur, terdetik dalam hati kenapalah saya balik lambat. Memang kalau balik lambat, anak sudah tidur. Jika boleh, setiap hari saya nak anak tidur di depan mata sendiri.

QUE Haidar bersama isteri dan anak-anak.

"Betullah selama ini saya dengar kalau penat mana kita bekerja dan pulang ke rumah disambut anak serta melayan kerenah mereka... penat hilang begitu sahaja. Tengok anak memang buat hati kita jadi sejuk. Tapi dalam seronok itu, pening kepala juga pada masa yang sama melayan anak yang kian membesar," katanya dalam pertemuan dengan BH Plus, baru-baru ini ketika Que diumumkan sebagai tenaga pengajar Akademi Fantasia 2015.

Kehidupannya sebagai suami dan bapa kini benar-benar membuatkan aktor berbakat besar itu tersenyum lebar. Kehadiran anak yang mempunyai kerenah dan perangai berbeza menceriakan lagi suasana.

Que pernah berseloroh kepada Linda, boleh jatuh sakit dan meninggal melayan gelagat anak di rumah. Tapi ironinya, itulah fasa bermakna yang dilalui ibu bapa saat melihat anak mereka membesar di depan mata.

"Qalif contohnya sudah ke fasa remaja dan mula bercinta. Malah, pada satu peringkat nak berdating, saya kena hantarkan dia bertemu kekasih hati. Sesekali pulang ke rumah kerana dia belajar di sekolah asrama penuh, saya kena penuhi hasratnya itu. Nak larang macam mana sekalipun, tak mustahil mereka akan buat di belakang kita. Jadi, daripada kita terlalu bertegas dalam hal ini, banyak juga perkara yang kita perlu berkompromi.

"Saya percaya setiap ibu bapa di luar sana berdepan hal yang sama. Dalam hal ini bukan kita menggalakkan tetapi cuba untuk memahami kehendak mereka. Anak zaman sekarang memang macam-macam gelagat mereka. Qalif pun apabila sudah bercinta, sudah mula memeningkan kepala saya dengan masalah percintaan.

PELAKON, Que Haidar (kanan), bersama isteri, Linda Jasmine (tengah), dan anak mereka Qalif. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

"Ratu pula memang agak diva sikapnya dan dia banyak menceriakan keadaan di rumah. Jelas dia sangat dominan menampakkan minat dalam dunia seni yang ada pada saya dan isteri. Memang nampak dia ke arah seni. Sebagai ibu bapa, kami mendorong dan menggalakkan apa yang dia minat. Sebab itu saya dan isteri hantar dia ke kelas tarian balet dan gimnastik serta kelas muzik Jazz. Bakat sudah kelihatan, semuanya terserah kepada dia," kata Que.

Seperti abangnya Qalif, Ratu juga akui Que sudah mula menampakkan sisi nakal dengan mula bercakap soal kekasih. Malah, pada satu tahap, Ratu dan Cleo turut bergaduh berebut lelaki yang sama.

Cleo biarpun paling muda disifatkan Que seperti makcik-makcik yang gemar membebel di rumah.

"Cleo dan Ratu memang pantang bertemu kerana ada sahaja modal untuk mereka mengusik sesama sendiri, termasuklah pada tahap nak lari dari rumah. Saya sendiri tak tahu nak gelak atau marah, keliru dibuatnya. Cleo sampai sanggup masuk ke bilik kakaknya untuk tolong kemas baju untuk dimasukkan ke dalam beg.

"Ratu juga memang suka gaya seksi, membuat persembahan dan gemar melawa. Ratu pernah masuk bilik mamanya dan cakap kalau besar nanti semua baju milik isteri saya akan jadi miliknya. Macam-macam gelagat anak saya bukan? Saya sendiri sering terfikir kalau pada tahap usia muda mereka begini sudah memikirkan hal lelaki contohnya dan nak melawa, bagaimana pula kalau mereka sudah meningkat remaja.

"Tetapi di usia sekarang, barangkali mereka tak faham apa yang dikatakan. Selain itu, paling saya resah apabila anak jatuh sakit. Jika selama ini, tak tahu macam mana perasaan bimbang ibu bapa kita kalau anak mereka sakit tetapi sekarang saya sudah mula merasakan apa yang ibu bapa saya rasai. Risau kita kalau anak sakit bukan kepalang. Selagi saya hidup, takkan saya berhenti memikirkan soal anak serta isteri," katanya.

QUE Haidar bersama anak perempuannya, Tengku Ratu (kiri) dan Tengku Cleopatra (kanan). - Foto ihsan Instagram Que Haidar

Dalam mendidik anak, Que menekankan konsep bertegas mengikut kesesuaian masa. Selain tegas, Que juga sesekali akan mengenakan pendekatan garang supaya anaknya tak naik lemak.

"Selalunya anak akan cari Linda kalau mahukan sesuatu. Saya garang lebih sedikit berbanding Linda. Anak selalu panggil saya King Of "No". Memang kebiasaannya apa yang mereka minta, saya akan katakan tidak. Tetapi ada masa, saya layan mereka seperti kawan. Bukan sepanjang masa saya bertegas atau garang, sesekali saya juga boleh bergurau dengan mereka," katanya.

Dalam perkembangan lain, Que dan Linda juga memikul mandat sebagai tenaga pengajar Akademi Fantasia 2015. Ia mandat kali kedua yang dipikul pasangan suami isteri ini bersama-sama selepas Akademi Fantasia musim kelapan pada 2010. Pendek kata, komitmen mereka seperti pakej bersama yang memberikan kelebihan serta kekurangan tersendiri.

"Kelebihannya itu ialah kami berdua boleh bawa berbincang hal kerja di rumah. Saya ajar seni persembahan dan isteri mengajar tarian. Jadi secara tak langsung, kami boleh meminta pandangan dan input sesama sendiri dalam memberikan yang terbaik untuk pelajar kali ini. Kami juga umpamanya dapat bersama-sama selalu di akademi dan di rumah semestinya.

"Yang kurangnya, soal anak bagaimana pula mahu diuruskan kalau kedua-dua di antara kami sibuk bekerja. Ketiga anak kami pun sudah mula bersekolah. Ratu dengan kelas balet, gimnastik dan muzik jazznya lagi dan Qalif di asrama contohnya. Dulu memang memeningkan kepala tetapi kami sudah selesaikan sebaik mungkin supaya semua lancar. Kalau tak diselesaikan terlebih dahulu memang susah juga jadinya," katanya.

TENAGA pengajar Akademi Fantasia 2015, Que Haidar dan Linda Jasmine. - Foto Hasriyasyah Sabudin

Que kini juga dalam debaran menanti keputusan kategori Pelakon Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia (FFM) ke- 27. Ia pencalonan kali ketiga Que di FFM. Terdahulu, Que dicalonkan dua kali dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik FFM, masing-masing menerusi KL Menjerit (FFM 19) dan Maut (FFM 22). Tetapi bagaimanapun tuah dan rezeki belum menyebelahi Que lagi.

Acara kemuncak FFM 27 akan berlangsung pada 5 September ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Que bertanding di bawah filem Ophilia berentap dengan Lee Sai Peng (The Journey), Wan Hanafi Su (Lelaki Harapan Dunia), Awie (Dollah Superstar) dan Bront Palarae (Terbaik Dari Langit). Sekalipun memilih untuk selektif selepas mula memperlahankan kerjaya seni pada 2010, Que ternyata masih bertaring.

"Alhamdulillah atas pencalonan ini. Nampaknya prinsip saya untuk selektif ini boleh dikira berjaya. Walau keluar tiga tahun atau dua tahun sekalipun, hasrat mahukan karakter yang memberi impak dilihat menyebelahi saya. Saya perlahankan kerjaya seni pun kerana nak pilih apa yang saya rasa patut buat. Tak wujud istilah meninggalkan kerjaya lakonan selama-lamanya.

"Tetapi saya akan menimbangkan tawaran berlakon sekiranya watak dan cerita yang diberikan sesuai dengan kehendaknya. Saya rasa sudah perlu dan tiba masanya saya jadi selektif ketika itu. Jadi kehendak untuk pilih karya, watak apa dan dengan siapa saya nak bekerja itu jadi milik sepenuh. Ini masa untuk saya menggembirakan diri sendiri. Sebagai pelakon, saya nak buat apa dan pilih watak yang saya rasa boleh menggembirakan diri,"kata Que yang rasa dan percaya setiap penghibur perlu ada perasaan sebegitu yakni untuk jadi lebih bagus kalau menikmati apa yang disukai.

LAKONAN Que Haidar masih lagi berbisa apabila dicalonkan untuk kali ketiga bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik di Filem Festival Malaysia (FFM). - Foto Hasriyasyah Sabudin

Ditanya mengenai persaingannya di FFM 27, Que bukan mahu menjadi klise tetapi beranggapan setiap calon lain mempunyai kekuatan dan potensi tersendiri untuk menang. Jujur diakui Que, saingan kali ini sangat kuat dan sengit.

"Kemenangan terpulang kepada juri profesional jenis pelakon bagaimana yang mahu diangkat. Jika juri memilih pelakon yang tenang dan kemas lakonan mereka, Wan Hanafi Su, Bront dan Lee Sai Peng bakal memberi saingan. Jika juri mahukan pelakon yang mempunyai warna dalam lakonan mereka serta mempunyai turun naik emosinya, maka saya yang akan dipilih. Kalau juri sepakat nak angkat karakter komedi, saya percaya Awie patut menang kerana lakonannya dalam Dollah Superstar sangat bagus," katanya.

Que Haidar

* Dilahirkan dengan nama Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar pada 30 Mei 1979 di Felda Taib Andak, Kulai, Johor.

* Sebelum bergelar pelakon, Que terlebih dulu memasuki Akademi Seni Warisan Kebangsaan (ASWARA) dan turut aktif dalam dunia teater.

* Selain dua kali menggenggam trofi Pelakon Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH, Que juga pernah dinobatkan Pelakon Harapan lelaki, Festival Filem Malaysia (FFM) menerusi filem Castello (2006) dan dicalonkan dua kali dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik FFM, masing-masing menerusi KL Menjerit (2006) dan Maut (2009).

* Aktor ini turut menjulang dua trofi Anugerah Skrin, masing-masing bagi kategori pelakon pembantu menerusi drama Tuhan Pun Tahun (2008) dan pelakon terbaik hasil lakonannya dalam drama Terlerai Takbir Kasih (2009).

* Que mengahwini pereka tari, Linda Jasmine, pada Februari 2009

Berita Harian X