Ahad, 23 Ogos 2015 | 12:02am

Kelip-kelip Kuala Selangor semakin suram

ANTARA pelancong asing yang tertarik dengan cahaya kelip-kelip ketika menyusuri Sungai Selangor.

KUALA Selangor suatu ketika pernah popular dengan kelip-kelip.

Aktiviti memerhatikan kelip-kelip ini sudah menjadi sebahagian daripada produk pelancongan di daerah ini.

Ketika zaman kanak-kanak dulu, penulis sering mendengar orang bercakap mengenai kelip-kelip, tapi tidak pernah melihat secara dekat, hanya menonton rancangan dokumentari di TV mengenai spesies kumbang itu saja beberapa kali.

Pengetahuan mengenai kelip-kelip atau kunang-kurang sangat terbatas sehinggalah baru-baru ini berkesempatan mengunjungi habitatnya.

Untuk melihat suasana 'kemeriahan' cahaya kelip-kelip ini, penulis perlu menyusuri Sungai Selangor pada waktu senja.

PINTU gerbang mengalu-alukan kedatangan pelancong ke Kampung Kuantan.

Lokasi popular kelip-kelip membiak dengan banyaknya adalah di Fireflies Park, Kampung Kuantan.

Keunikan kelip-kelip adalah pada ekornya yang mengeluarkan kelipan cahaya. Berdasarkan rekod, setakat ini terdapat antara 1,900 hingga 2,000 spesies kelip-kelip di seluruh dunia.

Di Kampung Kuantan saja, terdapat tiga spesies yang sering ditemui dikenali sebagai pteroptyx tener, pteroptyx valida dan pteroptyx malaccae. Pun begitu, kelip-kelip daripada spesies pteroptyx tener paling banyak ditemui di Kampung Kuantan.

Kelip-kelip jantan mengeluarkan cahaya yang lebih terang berbanding betina bertujuan menarik perhatian kelip-kelip betina. Keunikan pteroptyx tener apabila boleh menghasilkan kelipan beritma secara serentak.

Diancam kepupusan

MAKLUMAT mengenai kelip-kelip untuk tatapan pengunjung.

Kelip-kelip di Kampung Kuantan banyak mendiami di atas pohon berembang yang terdapat di pinggir Sungai Selangor. Pokok berembang atau nama saintifiknya sonneratia caseolaris adalah pokok bakau yang tumbuh subur di tebing sungai.

Perahu kami yang empat penumpang 'bersidai' di tepi pokok berembang, untuk melihat lebih dekat kelip-kelip, sekali gus merakamkan gambar serangga itu.

Kelip-kelip memerlukan cuaca lembap dan persekitaran berpaya untuk hidup dan membiak. Pada waktu siang, kelip-kelip tidak aktif dan berehat di bawah daun pokok berembang.

Larva kelip-kelip pula terdapat di sekitar pangkal akar pokok bakau, pokok sagu dan nipah.

Kitaran hidup kunang-kunang hanya bermula dari peringkat telur, larva, pupa dan akhirnya menjadi kelip-kelip dewasa. Jangka masa proses keseluruhan perubahan kitar hidup kelip-kelip adalah antara enam hingga tujuh bulan, manakala jangka hayat kelip-kelip dewasa dianggar sekitar dua hingga tiga bulan saja.

Pembangunan dan penebangan hutan paya bakau secara berleluasa memberi kesan terhadap populasi kelip-kelip di Kampung Kuantan dan dalam masa sama, berkurangnya sumber makanannya iaitu siput cyclotropis carinata.

Sedangkan jumlah pelancong yang berkunjung ke Fireflies Park sangat menggalakkan, sekali gus menjana ekonomi penduduk kampung terutama pendayung sampan.

Bagi mengekalkan populasi kelip-kelip, Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengambil beberapa inisiatif bagi program pemuliharaan kelip-kelip berkenaan. Menerusi anak syarikatnya, TNB Research Sdn Bhd bekerjasama dengan Pusat Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), menjalankan usaha pemuliharaan populasi kelip-kelip dan habitatnya.

Langkah ini perlu diambil untuk memastikan produk pelancongan di Kampung Kuantan, khususnya di Kuala Selangor, terus terpelihara.

Berita Harian X