Ahad, 23 Ogos 2015 | 9:19am

Raja Zarith Sofiah bantu pelajar di UK


PERMAISURI Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah. - Foto Zaharah Othman

PERCUTIAN dengan keluarga tidak menghalang Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah daripada memikirkan beban yang dirasai rakyat Malaysia di luar negara dengan kejatuhan nilai ringgit.

"Saya berada dalam kereta dan terus teringat bahawa sesuatu mesti dilakukan untuk menolong mereka meringankan masalah kewangan. Dengan kejatuhan nilai mata wang Malaysia, mereka mempunyai masalah membayar sewa rumah, kos kenderaan dan perbelanjaan setiap hari.

"Tidak cukup sekadar tahu masalah mereka, tapi tidak berbuat apa-apa," kata baginda dalam satu pertemuan, di sini baru-baru ini ketika berada di United Kingdom (UK) selama seminggu.

Permaisuri Johor yang ke sini bersama dua anakandanya, Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil dan Tunku Tun Aminah, menyedari beban kewangan ditanggung rakyat Malaysia itu ketika baginda membeli-belah di pasar raya Tesco, di sini.

Di dalam Facebooknya, Raja Zarith Sofiah menyuarakan keprihatinannya dan menawarkan bantuan: "Kepada rakyat Malaysia yang tinggal dan belajar di UK, tolong beritahu saya bagaimana saya boleh membantu. Adakah lembaga atau pertubuhan pelajar yang boleh membantu pelajar yang memerlukan bantuan kewangan?"

Pelajar terharu

Status itu menarik hampir 20,000 'like' dan 800 komen yang menyuarakan perasaan terharu mereka dengan keprihatinan baginda. Ramai juga memberi komen, memaklumkan masalah yang dihadapi mereka, kenalan atau saudara mara, termasuk pelajar Malaysia di Asia Barat dan Russia.

Permaisuri Johor memberi jaminan, akan bermesyuarat dan mendapatkan pandangan pihak tertentu mengenai cara terbaik untuk membantu pelajar terbabit kerana dana yang mahu dikumpul harus dikendalikan dengan baik sebagai amanah dan tidak boleh disalahgunakan.

Peraturan ketat

Selama ini, ramai pelajar Malaysia di UK melakukan kerja sambilan untuk menampung perbelanjaan, namun peraturan imigresen diperketatkan oleh Kerajaan British, baru-baru ini, menghalang mereka daripada terus berbuat demikian, mulai bulan depan.

"Saya berharap lebih ramai akan membantu. Ada usaha 'crowdfunding' (kumpul dana) dicadangkan dan mungkin saya akan menghubungi badan korporat untuk meminta bantuan. Saya juga memerlukan kerjasama Education Malaysia dan badan seperti UKEC, iaitu Majlis Pelajar Malaysia di UK dan Ireland," katanya.

18 dibaca
Berita Harian X