Ahad, 23 Ogos 2015 | 6:22pm

Sultan Ahmad Shah terima Anugerah Muhibah ASEAN 2015

KUALA LUMPUR: Presiden Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF), Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah diberi penghormatan untuk menerima Anugerah Muhibah ASEAN pada Malam Anugerah AFF 2015 di Yangon, Myanmar, semalam.

Sultan Pahang itu menerima anugerah tersebut buat kali kedua selepas 2013 sebagai mengiktiraf sumbangan besar baginda dalam mengeratkan hubungan kejiranan antara ahli gabungan persekutuan serantau itu.

Pada Kongres AFF ke-22 semalam, baginda mengekalkan jawatan nombor satu badan bola sepak itu tanpa bertanding untuk penggal kedua (2015-2019) di Hotel Novotel Yangon Max.

Bekas setiausaha agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Paul Mony Samuel, yang memegang jawatan sama dalam AFF dari 1988 hingga 2000, menerima Anugerah Khidmat Sepanjang Hayat atas sokongan berterusan ke arah pembangunan bola sepak di rantau ASEAN.

Malaysia juga turut membolot tiga lagi anugerah apabila Mohd Amirul Izwan Yaacob dinobatkan sebagai Pengadil Lelaki Terbaik, Rita Ghani (Pengadil Wanita Terbaik) dan Azman Ismail (Pembantu Pengadil Lelaki Terbaik).

Rita adalah pengadil pertama Malaysia dipilih untuk mengadili perlawanan Piala Dunia Wanita 2015 di Kanada, Jun lepas.

Malaysia juga boleh berbangga dengan pencapaian bekas kapten Harimau Malaya, Muhammad Shukor Adan, yang juga pemain pertahanan dan penyerang kebangsaan Safiq Rahim yang terpilih dalam Kesebelasan Terbaik AFF.

Skuad kesebelasan itu di dominasi oleh enam pemain Thailand, masing-masing dua daripada Malaysia dan Vietnam dan seorang pemain Singapura.

Thailand, yang muncul juara Piala AFF Suzuki 2014, turut dinamakan sebagai Pasukan Lelaki Terbaik manakala skuad wanita negara itu dipilih sebagai Pasukan Wanita Terbaik.

SENARAI ANUGERAH AFF 2015:

- Anugerah Mubibah ASEAN: Sultan Ahmad Shah (MALAYSIA)

- Anugerah Khidmat Sepanjang Hayat: Datuk Seri Paul Mony Samuel (MALAYSIA)

- Pemain Terbaik (Lelaki): Chanathip Songkrasin (Thailand)

- Pemain Terbaik (Wanita): Nisa Romyen (Thailand)

- Pemain Muda Terbaik: Aung Thu (Myanmar)

- Jurulatih Terbaik (Lelaki): Kiatisuk Senamuang (Thailand)

- Jurulatih Terbaik (Wanita): Nuengrutai Srathongviang (Thailand)

- Pemain Futsal Terbaik: Jetsada Chudech (Thailand)

- Pasukan Futsal Terbaik: Thailand

- Pasukan Kebangsaan Terbaik (Lelaki): Thailand

- Pasukan Kebangsaan Terbaik (Wanita): Thailand

- Pengadil Terbaik (Lelaki): Mohd Amirul Izwan Yaacob (MALAYSIA)

- Pembantu Pengadil Terbaik (Lelaki): Azman Ismail (MALAYSIA)

- Pengadil Terbaik (Wanita): Rita Ghani (MALAYSIA)

- Pembantu Pengadil Terbaik (Wanita): Rohaidah Mohd Nasir (Singapura)

- Jaringan Gol Terbaik Piala AFF Suzuki 2014: Le Cong Vinh (Vietnam)

- Persatuan Terbaik: Myanmar

- Kesebelasan Terbaik AFF::

- Penjaga gol: Kawin Thamsatchanan (Thailand)

- Pertahanan: Muhammad Shukor Adan (MALAYSIA), Tanaboon Kesarat, Perapat Notechaiya (Thailand), Hariss Harun (Singapura)

- Pemain Tengah: Sarach Yooyen, Kroekrit Thawikan, Chanathip Songkrasin (Thailand)

- Penyerang: Luong Thanh Pham dan Le Cong Vinh (Vietnam), Safiq Rahim (MALAYSIA).

- Bernama

Berita Harian X