Rabu, 24 September 2014 | 5:30pm

Tindakan tegas terhadap guru tiup api perkauman di Sabah

SANDAKAN: Tindakan tegas akan diambil terhadap guru yang dikesan meniup api perkauman di negeri ini, kata Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Jame Alip.

Beliau berkata, tindakan itu boleh menjejaskan perpaduan dan keharmonian rakyat di negara ini khususnya di Sabah yang mempunyai pelbagai kaum etnik.

"Saya tidak akan berkompromi dengan guru yang membuat sentimen perkauman. Jangan tiup api perkauman untuk kepentingan peribadi.

Sentimen seperti ini harus kita hapuskan supaya tidak meruntuhkan keharmonian rakyat yang telah disemai selama ini," katanya ketika merasmikan Program Pendidikan Kenegaraan peringkat daerah Sandakan di sini hari ini.

Beliau berkata, sebagai guru, tumpuan harus diberikan kepada tugas untuk mendidik pelajar dan kepentingan menyokong dasar pendidikan negara.

"Jangan sesekali memaki kerajaan dan jika ada guru dikesan khususnya menerusi laman sosial akan diambil tindakan mengikut peraturan sedia ada. Saya tidak mahu ia berlaku," katanya.

Jame berkata, penganjuran program pendidikan kenegaraan sesuai bagi menanam semangat patriotisme kalangan guru dan pelajar .

"Ia adalah penting agar mereka tidak terpengaruh dengan cubaan pihak tertentu yang cuba menggugat perpaduan dan keharmonian rakyat negara ini," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X