Isnin, 24 Ogos 2015 | 8:04am

Nadiya Nisaa terus kerjaya seni cara tersendiri

NADIYA Nisaa dan Aaron Aziz dalam drama Adam dan Hawa.

KUALA LUMPUR: Nadiya Nisaa pernah mencipta fenomena sekitar tahun 2012 ketika drama rantaian Adam dan Hawa yang bergandingan dengan Aaron Aziz sehingga menjadi kegilaan ramai.

Namun selepas berakhirnya drama terbitan Global Station Sdn Bhd yang disiarkan menerusi saluran Astro itu, momentun si cantik berbakat besar itu seakan-akan sudah menurun.

Tetapi ironinya, Pelakon Harapan Wanita Festival Filem Malaysia ke-24 menerusi watak Manis dalam filem Cun arahan Osman Ali itu masih meneruskan survivalnya dengan cara tersendiri.

Biar dilihat begitu, perjalanan seni ibu kepada Omar Saiful Razman itu masih berjalan seperti biasa.

Nadiya juga banyak diberi peranan penting di layar perak dan sesekali ke pentas teater.

Baru-baru ini ketika berlangsungnya Anugerah Lawak Warna 2015, dia dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Komedi Terbaik bagi filem Gila Baby.

"Mungkin juga tak ada gosip atau cerita yang menarik untuk diperkatakan mengenai saya. Tapi saya masih sibuk dengan kerjaya seni terutama berlakon filem walaupun jarang keluar TV.

"Awal tahun ini saya ada terbabit menjalani penggambaran filem Interchange (arahan Dain Said) dan Redha," kata Pelakon Filem Pembantu Wanita Terbaik Anugerah Skrin 2011 itu.

Sedar tak selalu berada di puncak, Nadiya Nisaa yang menceburi dunia lakonan sejak 2007 itu melihat ia satu lumrah atau kitaran dalam sesebuah liga seni.

"Sekurang-kurangnya ia dapat memberi peluang kepada muka baharu untuk menyerlah pula. Takkan muka kita sahaja selalu di kaca tv. Penonton nak juga tengok muka orang lain.

"Tetapi berlakon drama Adam dan Hawa satu bonus dan kesempatan terindah buat saya. Tambahan pula ia disiarkan pada waktu perdana menerusi slot yang ditunggu ramai.

PELAKON Komedi Wanita Terbaik Filem menerusi Anugerah Lawak Warna di MAEPS, Nadiya Nisaa. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Mengenai kemenangan sulungnya di Anugerah Lawak Warna 2015, Nadiya tak menyangka dia menjadi pilihan juri. Lebih manis, filem Gila Baby terbitan Grand Brilliance Sdn Bhd turut mendominasi empat lagi kategori tumpuan lain.

"Tahun lalu saya tercalon kategori Pelakon TV Wanita Komedi Terbaik tetapi tuah lebih menyebelahi Jasmin Hamid. Tahun ini kategori filem pula menyebelahi saya. Alhamdulillah.

"Anugerah Lawak Warna ini sesuatu yang cukup menyeronokkan. Ia mengingatkan saya kepada MTV awards yang dianjurkan di Hollywood. Tak kisah pun siapa yang menang. Menang itu pastinya bonus kerana ia membabitkan juri dan pengundi," katanya.

Ditanya apakah komedi itu menjadi forte buatnya, Nadiya Nisaa melihat apa sahaja genre lakonan itu sebagai cabaran buatnya untuk menjadi pelakon serba boleh.

"Selama ini saya ada juga dapat tawaran berlakon komedi dalam telefilem dan termasuk drama Oh My English. Seronok juga berlakon komedi ini. Nak buat komedi ini jadi tertekan tapi dihargai begini sehingga dapat anugerah," katanya yang turut berentap dalam kategori Pelakon Filem Pembantu Wanita Terbaik di FFM kali 27 pada 5 September depan.

NADIYA nisaa dan keluarga tersayang. - Foto ihsan Instagram Nadiya Nisaa

Berita Harian X