Isnin, 24 Ogos 2015 | 8:38pm

Rumah urut dikesan simpan nombor kenderaan Imigresen Melaka


PEMANGKU Pengarah Imigresen Melaka, Abu Bakar Sidek menunjukkan keratan nombor pendaftaran 16 kenderaan Jabatan Imigresen Melaka yang ditemui ketika serbuan di premis rumah urut di Taman Merdeka, Batu Berendam, hari ini. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

MELAKA: Sebuah premis rumah urut di Taman Merdeka di sini yang diserbu Jabatan Imigresen Melaka didapati menyimpan nombor pendaftaran kenderaan jabatan itu dipercayai sebagai langkah berjaga-jaga terhadap kehadiran anggota penguat kuasa.

Pemangku Pengarah Imigresen Melaka, Abu Bakar Sidek, berkata sehubungan itu pihaknya tidak menolak kemungkinan pemilik rumah urut itu sudah mengupah "tonto" bagi melindungi premis itu dan mengawasi gerak-geri penguat kuasa jabatan.

"Ini kali pertama hampir semua nombor pendaftaran kenderaan kita ada di premis itu, kita ada 18 buah kenderaan hanya dua lori kita tiada dalam senarai, sampaikan kenderaan kita yang tiada logo Jabatan Imigresen pun ada dalam senarai.

"Bagaimanapun, ini tidak akan menakutkan kita untuk terus melakukan penguatkuasaan, malah menambah semangat kita bagi membanteras kegiatan menyalahi undang-undang di negeri ini," katanya di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, Jabatan Imigresen akan mengambil langkah pantas untuk mengatasi masalah itu antaranya dengan memohon untuk menukar nombor pendaftaran kenderaan jabatan itu dengan secepat mungkin.

Sementara itu, dalam operasi Op Ikrar di lima lokasi sekitar negeri ini, 11 wanita warga Thailand antara 13 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Melaka.

Abu Bakar berkata, semua wanita berusia antara 20 dan 40 tahun itu ditahan di dua buah rumah urut di Taman Merdeka kerana disyaki melanggar syarat pas, permit dan pas sempadan.

Beliau berkata, dua lagi yang ditahan, masing-masing lelaki warga Nepal kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan warga Indonesia kerana tinggal lebih masa.

"Semua mereka dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Machap Umboo, Alor Gajah untuk siasatan lanjut," katanya.

Katanya, operasi kira-kira lima jam itu turut menahan seorang lelaki warga tempatan berumur 50 tahun kerana disyaki memberi perlindungan kepada warga asing.

- BERNAMA

173 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »