Selasa, 25 Ogos 2015 | 12:02am

Pelayar negara takut air

[email protected]

FAIZAL (dua dari kiri) dan Ahmad Syukri Abdul Aziz (kanan) meraikan kejayaan bersama rakan di Wangsan Sailing Marina, Incheon. - Gambar fail
FAIZAL (dua dari kiri) dan Ahmad Syukri Abdul Aziz (kanan) meraikan kejayaan bersama rakan di Wangsan Sailing Marina, Incheon. - Gambar fail

KERLIPAN emas di Wangsan Sailing Marina, Incheon, pada temasya Sukan Asia ke-17 ternyata masih tidak mencukupi buat dirinya selaku pelayar kebangsaan.

Justeru, bagi melengkapkan slot kejayaan dunia pelayaran, Mohamad Faizal Norizan atau Ejai kini merencanakan taktikal selain persiapan untuk memburu slot pada Sukan Olimpik, Tokyo, Jepun 2020.

"Perjalanan masih jauh tapi memang saya nak beraksi pada sukan terbesar dunia di Tokyo, tapi kalau ada rezeki, di Olimpik Rio 2016 sebagai pentas untuk saya cari pengalaman dulu.

"Kena ada pengalaman cukup banyak, kumpul ilmu baru fikir nak menang sebab masa di Korea Selatan saya main acara International 420. Tapi untuk taraf Olimpik kena beralih ke kelas 470," katanya ketika ditemui di kediamannya, Taman Pendamar Indah, Pelabuhan Klang, dekat sini, baru-baru ini.

Dia juga tidak menolak bahawa cita-citanya juga untuk menjadi seorang jurulatih profesional kelak.

Mohamad Faizal Norizan, 19, yang menjadi pilihan hatrik kali ini adalah pemenang pingat emas Sukan Asia, Incheon, Korea Selatan, bertindak selaku jurumudi menerusi acara layar International 420.

Kemenangan itu diraih bersama gandingan, Ahmad Syukri Abdul Aziz selaku kru di Wangsan Sailing Marina, sekali gus memecah kemarau lapan tahun negara tidak memenangi pingat emas acara pelayaran.

Ejai mengakui bukan mudah untuk menjadi juara dan macam-macam boleh terjadi ketika berada di atas laut. Justeru, dia selalu amalkan membaca doa setiap kali sebelum perlumbaan selain mendapatkan restu daripada keluarga.

"Setiap kali hendak turun laut, hendak tarik tali layar saya akan memanjatkan doa memohon petunjuk dan pertolongan daripada-Nya.

"Mungkin ini ialah antara rahsia kejayaan dan saya juga tidak pernah lupa untuk memohon restu ibu bapa dan meminta keluarga buat solat hajat," kata Mohamad Faizal yang sering kali mengkaji perlumbaan serta sesi video bagi menilai kelemahan dan kekurangan sebelum membaiki prestasinya.

Anak bongsu itu yang suatu ketika dahulu tidak pernah terfikir menjadi seorang pelayar, kini tidak lagi menoleh ke belakang lagi, malah membariskan Kevin Lim, Khairulnizam Afendy, Ku Anas Ku Zamil serta rakan pelayar lain sebagai idola untuk terus maju dalam bidang diceburi.

"Daripada mereka, saya banyak belajar dan menimba pengalaman. Tak terkecuali keluarga, jiran, rakan yang selalu memberikan sokongan moral," kata anak didik Sahir A Rahim dan Dimitris Lekakis itu.

Mohamad Faizal ketika ini memburu matlamat untuk mencapai cita-citanya, namun pengalaman pahit dipukul ribut, ombak besar dan mengalami sedikit kerosakan layar pada Kejohanan Layar Dunia IODA, Brazil tahun 2009 tetap tersemat di ingatannya.

MOHAMAD Faizal ketika berlatih di Wangsan Sailing Marina, Incheon menjelang kejohanan Sukan Asia ke-17. - Gambar fail
MOHAMAD Faizal ketika berlatih di Wangsan Sailing Marina, Incheon menjelang kejohanan Sukan Asia ke-17. - Gambar fail

Tegasnya pengalaman lampau akan dijadikan sebagai pengajaran untuk melangkah ke tahap yang lebih besar selain menanam impian untuk membalas kembali jasa keluarganya.

"Waktu kecil dulu, Ejai (Mohamad Faizal Norizan) seorang budak yang sangat takutkan air," demikian kata Rosidah Idris mengenai anak bongsunya itu.

"Walaupun takut air tapi dia selalu ikut abangnya berlatih kapal layar di Kelab Layar Diraja Selangor, sampaikan satu tahap si abang `benamkan' Ejai di tengah laut untuk beranikan dia," ceritanya lagi.

Mohamad Faizal, pernah memenangi pingat emas Sukan Asia Incheon 2014 dalam acara International 420.

Kemenangan itu diraih bersama gandingannya, Ahmad Syukri Abdul Aziz selaku krew di Wangsan Sailing Marina, sekali gus memecah kemarau lapan tahun negara tidak memenangi emas acara pelayaran.

Cerita Rosidah, kerana ketakutan itu Mohamad Faizal yang dipanggil Ejai ketika berusia lapan tahun pernah menangis dan meronta di lautan sehingga melaungkan: "matilah Ejai, tolong-tolong!".

Tetapi, kejadian itu sebenarnya adalah titik mula Ejai dalam sukan pelayaran selepas abang ketiganya, Muhammad Faiz.

"Saya pun tak sangka semangat dia kuat, waktu itu baru lapan tahun dan sudah mula ikut latihan. Ejai juga ada pengalaman pahit apabila lampu kalimantang pernah jatuh dan menimpa mukanya ketika sesi pengenalan sukan itu di Klang.

"Hingga sekarang parut itu ada di muka Ejai," cerita suri rumah sepenuh masa itu.

Selepas menunjukkan minat mendalam, akhirnya keluarganya memutuskan untuk Mohamad Faizal menjalani latihan dan setahun selepas itu ketika berusia sembilan tahun, Ejai sudah mula menunjukkan `taring' apabila membawa pulang pingat perak acara Optimist di Pulau Pinang.

"Kejohanan pertama dia masuk acara Optimist pada tahun 2006, Ejai bawa balik hamper, terkejut saya sebab menang. Lagi terkejut sebab dia yang dulunya takut air sudah boleh bersaing dengan orang lain.

"Tapi ketika di Tahun Empat, Ejai terpaksa berehat enam bulan sebab pergelangan tangan kirinya patah. Patah bukan kerana bersukan tapi sebab dia jatuh di hentian bas, nakal sangat, suka main panjat-panjat," jelasnya

Walaupun terbabit dalam insiden malang itu, semangat Mohamad Faizal tidak pernah luntur.

Rosidah berkata, pembabitan Mohamad Faizal dalam sukan layar turut mengharumkan nama sekolah anaknya itu sehingga dia dinobat sebagai olahragawan Sekolah Kebangsaan Kampung Idaman dan menerima hadiah kasut daripada guru kokurikulum, Cikgu Yaakob.

"Sampai sekarang kasut itu disimpan dan ia amat bermakna untuk Ejai kerana dia memang menghargai pemberian orang," katanya.

Sebagai keluarga, sudah tentu ibu, ayah dan adik-beradik mahukan Mohamad Faizal lebih berjaya dalam sukan layar yang sudah sebati sejak berada di bangku sekolah lagi.

"Saya harap Ejai boleh bersaing di Sukan Olimpik kelak dan buktikan kepada kami dia memang boleh. Saya dan keluarga akan terus mendoakan kejayaannya," katanya.

BIODATA

Nama: Mohamad Faizal Norizan

  • Tarikh Lahir: 27 Mei 1996
  • Nama ibu bapa: Rosidah Idris, 55, dan Norizan Abd Karim, 56
  • Adik beradik: Mohd Fairuss, 30, Mohd Faizul, 29, Muhammad Faiz, 24
  • Sukan: Pelayaran
  • Karier: Atlet sepenuh masa
  • Pengalaman: 10 tahun
  • Kategori: International 420
  • Pendidikan:

    • Sekolah Kebangsaan Kampung Idaman, Pelabuhan Klang (Tahun 1 hingga Tahun 5)
    • Sekolah Kebangsaan Sungai Menghulu, Langkawi (Tahun 6)
    • Sekolah Menengah Kebangsaan Klebang, Langkawi (Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3)
    • Sekolah Menengah Kebangsaan Mahsuri, Langkawi (Tingkatan 4 hingga Tingkatan 5)
  • Anugerah:

    • Olahragawan sekolah (2009)
    • Olahragawan Harapan Selangor (2009)
  • Pencapaian 2014:

    • Sukan Asia Incheon,Korea Selatan -Pingat emas International 420
    • Kejohahan Layar Dunia ISAF, Tavira Portugal -Pingat emas International 420 (Ranking nombor dua dunia)
    • Kejohanan Dunia 420, Travemunde Jerman -Kedudukan kelima dunia Kejohanan Layar Asia, Korea kali ke-16 -Pingat emas International 420 - Sukan Malaysia, Perlis -Pingat emas International 420
    • Kejohanan Kelab Layar, Athens, Greece -Pingat gangsa International 420
    • Kejohanan Layar The Gulf, Doha, Qatar -Pingat emas - International 420
    • Langkawi International Regatta Perdana, Langkawi -Pingat emas International 420
  • Liga Layar Malaysia, Match Racing, Putrajaya -Pingat gangsa Foundation 36

  • Pencapaian 2013:

    • Ranking nombor satu di Malaysia Sukan SEA, Myanmar -Pingat emas International 420
    • Kejohanan Nasional Singapura International 420, 2013 -Pingat gangsa
    • Kejohanan Antarabangsa Regatta Perdana, Langkawi -Pingat emas International 420
  • Pencapaian 2012:

    • Kejohanan Layar Remaja Dunia (ISAF) -Kedudukan ketujuh dunia International 420
    • Kejohanan Perahu Layar Antarabangsa, Perlis -Juara Terbuka Dinghy Lelaki
  • Berita Harian X