Selasa, 25 Ogos 2015 | 3:43pm

Akim gembira kekasih peluk Islam tapi kesal video tersebar


PENYANYI, Akim Ahmad bersama Stacy ketika sesi fotografi pada 30 Jun lalu. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Akim Ahmad, pastinya antara insan yang paling gembira apabila kekasihnya, Stacy, memeluk Islam, semalam.

Walaupun begitu, beliau menegaskan, Stacy atau pemilik nama sebenar, Stracie Angie Anam, itu ikhlas memeluk Islam dan ia tiada kena mengena dengan perancangan untuk mendirikan rumah tangga seperti didakwa sesetengah pihak.

"Kami belum ada perancangan untuk berkahwin dalam masa terdekat walaupun sudah enam tahun mengenali hati budi masing-masing.

"Kalau saya boleh bersabar menunggu masa sesuai dan menanti jodoh kami tiba, kenapa orang luar pula yang perlu mendesak?" katanya sambil menambah Stacy sebelum ini sudah belajar mendalami Islam, termasuk berpuasa pada bulan Ramadan.

Akim menjelaskan, perancangan memilih semalam sebagai hari Stacy atau Ummu Shaikhah Stacy Anam Abdullah memeluk Islam dibuat sejak dua bulan lalu dan kebetulan dekat dengan tarikh kenduri perkahwinan adiknya.

Katanya, Stacy memilih untuk mengucap kalimah syahadah di Johor ditemani oleh kedua ibu bapa Stacy juga orang tua Akim.

"Saya tidak menemaninya semalam semata-mata mahu mengelakkan salah faham. Saya harap kita sama-sama bagi ruang dan masa kepada saudara baharu untuk lebih mendalami Islam," katanya.

Pada masa yang sama, Akim menyuarakan kekesalannya dengan penyebaran gambar serta video proses pengislaman Stacy dan mahu pihak terbabit dikenakan tindakan tegas.

Gambar penyanyi Not For Sale, yang mengenakan tudung hitam tersebar di laman sosial hingga ramai membuat andaian mengenai status agamanya. Namun, penyanyi itu mahupun syarikat pengurusannya enggan mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu terbabit sebaliknya meminta wartawan menghadiri sidang media tergempar di ASTRO, petang tadi.

Akim berkata, perbuatan pihak terbabit tidak beretika dan membelakangi hak peribadi kekasihnya itu.

Mengesyaki perbuatan itu dilakukan oleh individu yang turut berada ketika proses pengislaman Stacy, Akim menegaskan pihak terbabit sepatutnya menghormati kedudukan penyanyi itu dan keluarganya, terutama apabila membabitkan isu agama yang sensitif.

"Tindakan tidak bertanggungjawab itu mengundang pelbagai spekulasi sedangkan Stacy hanya menunggu masa yang sesuai untuk memaklumkan perkara sebenar.

"Isu agama adalah sesuatu yang sensitif selain banyak hati yang perlu dijaga terutama keluarga Stacy, apatah lagi sebaik gambar itu disebarkan, ia terus mengundang pertelagahan pendapat di laman sosial.

"Perkara sebegini yang cuba dielakkan dan berkemungkinan besar penerimaan orang ramai terhadap pengislaman Stacy berbeza jika beliau sendiri yang mengumumkannya secara terbuka," katanya.

Berita Harian X