Rabu, 26 Ogos 2015 | 12:44pm

MSM labur RM1.08b bina loji penapisan gula terbesar Malaysia


MSM Malaysia Holdings Bhd, ahli kumpulan FGV akan membina kilang penapisan gula terbesar di Malaysia.

KUALA LUMPUR: MSM Malaysia Holdings Bhd, ahli kumpulan FGV akan membina kilang penapisan gula terbesar di Malaysia membabitkan pelaburan AS$259 juta (RM1.08 bilion).

Perjanjian pembinaan, reka bentuk dan pemerolehan kejuruteraan (EPCC) kilang penapisan ketiga MSM itu dimeterai hari ini antara MSM dan Sharkara International (FZC), syarikat bersekutu Sutech Engineering Co Ltd dari Thailand membabitkan kontrak AS$97.5 juta (RM408.5 juta) sebagai kontraktor utama bagi pembinaan kilang itu.

Ketua Pegawai Eksekutif MSM, Datuk Sheikh Awab Sheikh Abod, berkata kilang penapisan gula di Tanjung Langsat, Johor itu dijangka beroperasi sepenuhnya pada suku ketiga 2017, bakal membantu MSM menerajui pasaran hadapan dengan sasaran pengeluaran dua juta tan gula bertapis setahun, berbanding 1.1 juta tan ketika ini.

"Ini akan membolehkan MSM meningkatkan kapasiti pengeluaran tahunan kepada 3.25 juta tan serta memanfaatkan sepenuhnya asas kukuh kami selama ini," katanya pada majlis memeterai perjanjian MSM dengan FZC di sini, hari ini.

Beliau berkata, menerusi kilang penapis di Johor itu, pihaknya menjangkakan mencapai kadar kecekapan operasi tinggi yang bakal diterjemahkan sebagai harga produk barangan akhir paling kompetitif.

MSM ditubuhkan pada 10 Mac 2011 adalah antara pengeluar gula terbesar Malaysia. Ia disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 28 Jun 2011 dan kini adalah antara 60 syarikat utama di Bursa Malaysia dengan permodalan pasaran RM3.5 bilion pada 2014.

Secara asasnya, MSM mengendalikan perniagaan gula Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV). Ia mengeluar dan memasarkan gula bertapis. Syarikat mengendalikan perniagaannya menerusi dua anak syarikat iaitu MSM Prai Bhd dan MSM Perlis Sdn Bhd yang masing-masing ditubuhkan pada 1959 dan 1971.

MSM mempunyai keupayaan pengeluaran 1.1 juta tan gula bertapis setahun. Pada 2014, MSM mengeluarkan 986,115 tan gula bertapis yang mana 20 peratus untuk eksport. MSM kini menguasai 64 peratus bahagian pasaran gula di pasaran domestik.

Dalam pada itu, Sheikh Awab, berkata MSM sedang membida untuk projek huluan gula di Indonesia bernilai AS$1.3 juta (RM5.45 juta).

Katanya, bidaan itu membabitkan kilang milik PT Perkebunan Nusantara X bagi tujuan kontrak bina, urus dan pindah (BOT).

"Usaha ini adalah sebahagian strategi untuk meningkatkan aktiviti huluan syarikat dalam usahanya menjadi antara lima pengeluar gula terbesar di Asia menjelang 2020.

"Selain MSM, ada empat lagi syarikat dari luar negara yang turut mengemukakan bidaan," katanya.

71 dibaca
Berita Harian X