Rabu, 26 Ogos 2015 | 12:53pm

Saya terima suratan ini dengan tenang - Yatt Hamzah


YATT Hamzah menerima suratan perpisahan dengan lelaki yang pernah dicintainya, Abdul Mutalib Abdul Shukor. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

KUALA LUMPUR: Yatt Hamzah atau nama penuhnya Haryati Hamzah menerima suratan perpisahan dengan lelaki yang pernah dicintainya, Abdul Mutalib Abdul Shukor. Rumah tangga yang dibina pasangan itu pada 29 Mac 2009 tidak mampu diselamatkan lagi.

Sangkakan ia dapat dipertahankan seperti sebelum ini selepas berantakan yang ternyata mengejutkan ramai pihak, namun jodoh kedua-duanya tidak panjang.

Terdahulu bekas suami Yatt menghantar mesej kepada BH Online mendedahkan perceraian mereka diputuskan semalam (25 Ogos). Mereka bercerai dengan talak satu di Mahkamah Tinggi Syariah KL secara tertutup sekitar jam 4 petang. Bagi Yatt, dia seboleh-bolehnya tidak mahu melihat semua itu terjadi tapi sudah ketentuan Tuhan yang harus diterima dengan penuh reda.

"Ini yang terbaik untuk kami berdua buat masa ini. Alhamdulillah saya terima suratan ini dengan tenang. Ini yang Tuhan susun dan tulis di Loh Mahfuz. Saya meneruskan kehidupan macam biasa. Malah saat ini, saya sibuk dengan beberapa agenda kerja. Selebihnya mengenai hati saya, cukup saya katakan Allah sahaja yang maha mengetahui.

"Kami masih berhubung dan berkawan baik. Cuma gelaran suami isteri itu sudah tiada. Doakan saya dan bekas suami kuat menerima ketentuan ini. Insya-Allah. Soal anak pun tak menjadi masalah kerana kami sudah berbincang. Kami sudah melakukan perjanjian terbaik untuk anak kami. Harapnya ia tak akan menimbulkan masalah. Soal giliran menjaga itu sama sahaja seperti ibu bapa yang melalui perceraian. Tak ada isu rebut anak pun," katanya ringkas.

Hasil perkongsian hidup pasangan ini dikurniakan anak perempuan, Suci Hanania Malika Abdul Mutalib berusia lima tahun.

Berita Harian X