Khamis, 27 Ogos 2015 | 8:36pm

RAPID KL lanjut operasi sempena ambang Hari Kebangsaan

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan pengangkutan awam di ibu negara iaitu sistem transit aliran ringan (LRT), monorel dan bas bandar kelolaan Rapid KL akan dilanjutkan sehingga 1 pagi Ahad ini bagi memberi peluang kepada orang ramai menyambut ambang Hari Kebangsaan 2015.

Jurucakap Rapid KL, Lim Chin Aun, berkata tiga stesen LRT di Masjid Jamek, Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dan Bandaraya serta satu stesen monorel di Medan Tuanku akan dilanjutkan operasinya sehingga pukul 1 pagi pada hari itu.

"Walaupun pintu masuk di stesen-stesen lain ditutup secara berperingkat mulai pukul 11.10 malam mengikut jadual operasi hari minggu dan kelepasan awam yang biasa, penumpang yang menggunakan perkhidmatan LRT dan monorel di empat stesen terbabit masih boleh keluar di mana-mana stesen sehingga selesai perkhidmatan lanjutan masa berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Lim berkata, semua perkhidmatan LRT dan monorel dijangka beroperasi seperti biasa dari 28 sehingga 31 Ogos ini kecuali perkhidmatan stesen yang dilanjutkan operasinya.

"Selain perkhidmatan LRT dan monorel, perkhidmatan bas Rapid KL yang menghubungkan bandaraya Kuala Lumpur dengan beberapa taman perumahan juga akan dilanjutkan perkhidmatannya sehingga pukul 1 pagi pada hari itu," katanya.

Beliau berkata, ia membabitkan laluan U6 (Jalan Munsyi Abdullah-Taman Jasa Utama), U23 (Lebuh Ampang-Taman Melawati), U30 (Lebuh Ampang-Pandan Mewah), U40 (Jalan Silang-Terminal Kajang), U64 (Pasar Seni-Taman Sri Muda), U66 (Pasar Seni-Taman Medan), U68 (Pasar Seni-Taman Sri Manja/Taman Sri Sentosa), U70 (Pasar Seni-Puchong Prima), U88 (Pasar Seni-Kota Damansara), dan U224 (Pasar Seni-Taman Dato' Senu).

"Bagaimanapun, perkhidmatan bas termasuk pada ambang Hari Kebangsaan 2015 bergantung kepada panduan pihak polis memandangkan beberapa jalan di bandar raya Kuala Lumpur akan ditutup secara berperingkat bagi memberi laluan kepada raptai dan sambutan Hari Kebangsaan 2015 dijalankan," katanya.

- BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X