X
Jumaat, 28 Ogos 2015 | 12:03am
PELAKON, Nabila Huda. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
PELAKON, Nabila Huda. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
NABILA dan anaknya, Keisha Laila di Kulcats, Taman Tun Dr Ismail (TTDI). - Foto Zunnur Al Shafiq
NABILA dan anaknya, Keisha Laila di Kulcats, Taman Tun Dr Ismail (TTDI). - Foto Zunnur Al Shafiq

Abil mahir masak ikan taucu


PELAKON Nabila Huda sering membuatkan khalayak terpesona dengan bakat besar yang ditonjolkannya.

Namun, pasti ramai tidak mengetahui sisi berbeza pemilik nama Nabila Huda Suhaimi yang mempunyai kemahiran memasak diwarisi daripada neneknya sendiri.

"Saya sememangnya minat untuk memasak jika ada kelapangan. Rakan rapat sudah sedia maklum dengan kemahiran saya memasak dan mereka sering berkunjung ke rumah untuk merasa air tangan saya.

"Sedari kecil lagi, saya sudah didedahkan dengan resipi turun temurun nenek saya. Nenek saya adalah guru yang banyak mengajar saya untuk memasak. Malah, saya akan menelefon nenek untuk bertanyakan resipi sebelum memasak sesuatu hidangan.

"Saya dibesarkan dalam keluarga yang mengajar saya erti hidup berdikari. Secara semula jadi, saya belajar untuk memasak tanpa disuruh sesiapa. Saya tidak terlalu terikat dengan resipi untuk sesuatu masakan itu kerana gemar menggubah masakan itu mengikut cita rasa sendiri," kata Nabila kepada BH PLUS.

NABILA ketika di dapur. - Foto Zunnur Al Shafiq
NABILA ketika di dapur. - Foto Zunnur Al Shafiq

Mewarisi bakat memasak daripada kedua-dua belah keluarga ibu dan bapanya, Nabila menjadikan aktiviti memasak bagi mengisi masa lapang.

Anak kepada penyanyi legenda Amy Search itu memilih ikan masak taucu sebagai lauk kegemarannya kerana ia adalah resipi turun temurun neneknya.

Tambah Abil, beliau menggemari juadah masak lodeh dan rendang hasil air tangan neneknya, Norhayati Ramli, 70, yang menetap di Klang, Selangor. Beliau nekad mempelajari satu persatu rahsia masakan neneknya sehingga mampu menyediakan juadah itu sendiri.

"Ikan tenggiri taucu adalah juadah yang mudah, namun hidangan itu menjadi unik dengan air tangan dan resipi rahsia nenek saya. Saya gemar memasak, namun tidak terlalu mengikut resipi kerana lebih cenderung mengubah sesuatu hidang itu mengikut selera saya.

"Nenek adalah guru masakan saya sedari dulu lagi. Malah, saya akan menelefon nenek sebelum masak bagi mendapatkan resipi dan tunjuk ajar daripadanya," katanya sambil tertawa.

Wanita berusia 32 tahun itu begitu teruja memberi sentuhan air tangan menyediakan juadah berbuka puasa pada bulan Ramadan yang lalu di restoran, Kulcats Barrio di Taman Tun Dr Ismail, milik teman rapatnya. Malah, kelibat beliau sering dilihat bersilat di dapur restoran terbabit sambil mulutnya becok berbicara.

NABILA menjadikan aktiviti memasak bagi mengisi masa lapang. - Foto Zunnur Al Shafiq
NABILA menjadikan aktiviti memasak bagi mengisi masa lapang. - Foto Zunnur Al Shafiq

"Seperti semua sedia maklum saya memang rapat dengan seorang pemilik di Kulcats ini. Namun, saya enggan berbicara lanjut mengenai hal peribadi saya. Cukuplah sekadar perkongsian itu saja buat masa ini," katanya.

Meletakkan hubungannya dalam zon selesa, Nabila berkongsi yang beliau sedang dalam proses mengenali jejaka itu. Bagaimanapun, beliau enggan terburu-buru dalam membuat keputusan berumah tangga dan menyerahkan soal jodoh kepada Tuhan.

Bercerita mengenai rutin sehariannya, Nabila berkata, beliau bangun pagi untuk menyediakan sarapan buat anaknya, Keisha Laila dan menyiapkan si kecil untuk ke sekolah, menghantarnya ke sekolah dan kemudian masak tengah hari.

Pendek kata, aktivitinya kini banyak terluang di rumah bersama Keisha.

"Sebenarnya saya sangat terkejut dengan rutin seharian saya sekarang. Tidak dinafikan minggu pertama persekolahan, saya agak tertekan kerana saya tidak mempunyai pembantu rumah dan terpaksa menguruskan semuanya seorang diri.

"Walau bagaimanapun saya sangat teruja melalui perkara ini dan ia satu fasa hidup baru untuk saya. Walaupun masih dalam proses pembelajaran, saya yakin boleh menanganinya kerana saya pernah melalui perkara lebih hebat lagi sebelum ini," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X