Jumaat, 28 Ogos 2015 | 10:13am

Saham KL dibuka lebih kukuh

Foto NSTP/Surianie Mohd Hanif

KUALA LUMPUR: Saham KLdibuka tinggi hari ini didorong rali semalaman di Wall Street dan dijana harapan agar kenaikan kadar faedah di AS tidak berlaku dalam tempoh terdekat serta pemulihan pasaran saham China, kata peniaga.

Pada jam 9.17 pagi, FBM KLCI naik 16.63 mata pada 1,618.33 mata selepas dibuka naik 7.34 mata pada 1,609.04 mata.

Seorang wakil peniaga berkata, pasaran mengambil isyarat positif dari Wall Street apabila Dow Jones mencatat peningkatan terbesar dalam tempoh dua hari sejak 2008. Indeks S&P 500 dan Komposit Nasdaq juga mencatat peningkatan dua hari terbesar sejak 2009.

Dalam pada itu, seorang peniaga berkata, paras rintangan bagi rali sekarang ialah pada 1,630 diikuti paras puncak 30-hari (1,658) dan purata 50-hari pada 1,682.

"Paras sokongan semerta berikutan kegiatan pengambilan untung pada peringkat awal adalah pada purata 10-hari (1,576) diikuti 1,550 dan paras terendah sebelum ini 1,526 (Mei 2013)," kata seorang peniaga.

Pada paan skor, Indeks FBM Emas naik 106.66 mata kepada 11,011.58, Indeks FBMT100 naik 101.729 pada 10,767.01 dan Indeks FBM Emas Syariah naik 112.26 mata kepada 11,504.8.

Kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 356 berbanding 81 manakala 138 kaunter tidak berubah, 1,228 tidak diniagakan dan 45 digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 297.66 juta saham bernilai RM171.89 juta.

Antara kaunter aktif, AirAsia naik 3.5 sen kepada 92 sen, Sumatec dan Daya Materials masing-masing naik satu sen kepada 13.5 dan 10.5 sen, Perisai Petroleum naik 2.5 sen kepada 31.5 sen dan KNM naik dua sen kepada 50 sen. - BERNAMA

Berita Harian X