Jumaat, 28 Ogos 2015 | 12:30pm

Filem Menghonjang Makhluk Muzium dijangka tarik pengunjung

FILEM kontemporari komedi yang berjudul Usop Wilcha "Menghonjang Makhluk Muzium" garapan pengarah tersohor, Mamat Khalid dijangka mampu menarik orang ramai untuk memenuhi pawagam bermula 3 September ini.

Pengarah mengambil risiko mempertaruhkan filem yang sarat dengan maklumat sejarah dengan menyuntik elemen komedi bagi menarik minat penonton.

Filem ini memaparkan kisah yang berlaku dalam sebuah muzium yang menyimpan banyak khazanah dan pengetahuan yang semakin dilupakan oleh masyarakat masa kini. Sejarah yang sepatutnya menjadi kebanggaan dan pedoman masyarakat dalam merencanakan masa depan, dibiarkan begitu saja.

Sejarah tidak pernah mati menjadi intipati filem ini bagi mengangkat kembali minat masyarakat terhadap bahan dan fakta sejarah. Filem ini memberi dimensi baru dari sudut penceritaan dengan menggabungkan elemen komedi, suspen, seram, politik dan intelektual.

Karya santai penuh mesej Mamat dibantu oleh pelakon berbakat seperti Nasir Bilal Khan, Namron, Hitler Zami, Along Ezzendy, Kamarul Yusoff, Pyan Habib dan Man Kadir menguatkan lagi plot filem ini.

Kreativiti Mamat dalam berkarya tidak dapat disangkal lagi yang kebanyakan antara filemnya seperti Hantu Kak Limah Balik Rumah, Rock, Rock Ooo, Zombi Kampung Pisang dan banyak lagi mendapat sambutan memberangsangkan.

Kolaborasi dua penerbit iaitu Mountingboard Productions Sdn Bhd dan D Siney Production memilih muka baru seperti Elizabeth Tan dan Mawar Rashid juga dilihat sebagai langkah bijak kerana pendatang baru ini ternyata mempunyai kekuatan mereka tersendiri.

Sebagai pendatang baru, mutu lakonan Elizabeth masih banyak yang perlu diperbaiki. Begitupun, pelakon-pelakon berbakat yang menjayakan filem ini berjaya menutup sedikit sebanyak kekurangan.

Filem yang menelan belanja RM2 juta ini menjalani penggambaran di sekitar Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim Perak.

Berita Harian X