Jumaat, 28 Ogos 2015 | 12:51pm

Danajamin, Bank pembangunan jamin bersama sukuk RM1b WCESB

KUALA LUMPUR: Danajamin Nasional Bhd dan Bank Pembangunan Malaysia Bhd menjamin bersama sukuk RM1 bilion West Coast Expressway Sdn Bhd (WCESB) hingga 21 tahun.

Dalam satu kenyataan hari ini, Danajamin berkata ia akan menjamin bahagian RM350 juta manakala Bank Pembangunan bagi baki RM650 juta.

Sukuk itu dengan penarafan masing-masing AAA(fg) dan AAA(bg) diterbit hari ini dan dilanggan penuh, katanya.

WCESB adalah pemegang konsesi Projek Lebuhraya Pantai Barat.

Projek berkenaan membabitkan pembangunan lebuh raya antara bandar sepanjang 233 kilometer menghubungkan pantai barat Semenanjung Malaysia dari Banting di Selangor ke Taiping di Perak. Projek itu dijangka siap dalam tempoh lima tahun.

WCESB dikuasai Kumpulan Europlus Bhd (80 peratus) dan Road Builder (M) Holdings Bhd (20 peratus).

"Dana dari sukuk itu akan digunakan untuk membiayai sebahagian perbelanjaan yang berkait dengan projek lebuh raya itu termasuk pembangunan, reka bentuk dan pembinaan lebuh raya itu," kata Danajamin.

Ketua Pegawai Eksekutif, Mohamed Nazri Omar, berkata projek lebuh raya berkenaan adalah contoh pembiayaan jangka panjang sukuk disesuaikan untuk menyediakan penyelesaian pembiayaan bagi pembinaan kemudahan infrastruktur ke arah mencapai sasaran Rancangan Malaysia ke-11.

Jumlah keseluruhan jaminan Danajamin bagi program bon dan Sukuk sehingga kini termasuk jaminan terkini ini ialah kira-kira RM7.9 bilion, katanya. - BERNAMA

Berita Harian X