Jumaat, 28 Ogos 2015 | 4:58pm

RHB Capital untung RM1.34b separuh pertama 2015

KUALA LUMPUR: RHB Capital Bhd catat penurunan untung sebelum cukai kepada RM1.34 bilion bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini berakhir 30 Jun 2015 daripada RM1.38 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.

Bagaimanapun, dalam tempoh yang dikaji pendapatan meningkat kepada RM5.34 bilion daripada RM4.85 bilion sebelumnya.

Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Khairussaleh Ramli, berkata pertumbuhan pinjaman domestik dijangka menyederhana pada separuh kedua 2015 disebabkan kelembapan perbelanjaan pengguna dan pelaburan swasta.

Beliau berkata, pasaran modal dan kegiatan perbankan borong dijangka kekal sederhana.

"Berdasarkan persekitaran operasi yang mencabar, Kumpulan akan memperhebat usaha untuk mengoptimumkan kecekapan kos dan modal serta mengurus kualiti aset," katanya.

Pendapatan berasaskan dana bersihnya tumbuh 0.4 peratus tahun ke tahun kepada RM1.95 bilion.

Pendapatan berasaskan dana kasar pula meningkat 13.2 peratus disokong oleh pertumbuhan sebanyak 9.2 peratus dalam pinjaman dan pembiayaan kasar.

Margin faedah bersih pada 2.13 peratus bagi suku dalam semakan.

Aset keseluruhan Kumpulan meningkat 1.8 peratus atau RM3.2 bilion kepada RM223.2 bilion setakat 30 Jun 2015 manakala ekuiti pemegang saham bertumbuh kepada RM20 bilion.

Pinjaman kasar RHB Capital tumbuh 1.5 peratus bagi separuh pertama 2015 dan 9.2 peratus tahun ke tahun kepada RM144.7 bilion.

Berita Harian X