Sabtu, 29 Ogos 2015 | 12:41pm

Guna kaedah komunikasi terkini menangi sokongan Gen Y - TPM

AHMAD Zahid merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Beruas, hari ini. - Foto L Manimaran
AHMAD Zahid merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Beruas, hari ini. - Foto L Manimaran

BERUAS: Pemimpin serta ahli UMNO dan Barisan Nasional (BN) harus menumpukan perhatian mendapatkan sokongan daripada generasi Y atau golongan muda menggunakan kaedah komunikasi terkini bagi memastikan parti itu terus relevan.

Naib Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata sokongan daripada generasi Y penting kerana kira-kira lima juta pengundi baharu pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang terdiri daripada golongan berkenaan.

"Kaedah konvensional seperti ceramah sudah tidak lagi relevan kerana mesej hanya mampu disampaikan kepada 13 peratus rakyat.

"Pembangkang ketika ini guna komunikasi tanpa lisan daripada teknologi terkini untuk sampaikan mesej kepada 87 peratus lagi audien," katanya merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Beruas di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Abdul Manaf Hashim.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, kegagalan pemimpin serta ahli UMNO dan BN memahami kehendak dan cita rasa golongan Y boleh mengakibatkan parti itu hanya menjadi sejarah pada masa depan sebagaimana kerajaan Melayu Gangga Negara di Beruas pada suatu masa dahulu.

Katanya, dengan latar belakang pendidikan dan kehendak berbeza, generasi Y tidak mahu bernostalgia dengan apa sudah dilakukan generasi X atau golongan tua tetapi sering bertanya apa yang mereka boleh dapat dengan menyokong UMNO dan BN.

Berita Harian X