Sabtu, 29 Ogos 2015 | 4:49pm

Nubhan tamatkan zaman bujang, nikahi Afifah Hidayah petang tadi

NUBHAN dan Afifah sah bergelar suami isteri. - Foto ihsan MHM Studio

KUALA LUMPUR: Hanya dengan  sekali lafaz penyanyi Nubhan, 29, selamat diijabkabulkan dengan pasangannya Afifah Hidayah Ahmad Tawfek, 26, di rumah pengantin perempuan di Seremban 2, Negeri Sembilan, jam 3.45 petang tadi.

Majlis akad nikah disempurnakan Penolong Pendaftar Nikah dan Cerai Seremban 2, Wan Nawang Wan Sulong dan berwalikan bapa pengantin perempuan Ahmad Tawfek Zulkifly dengan mas kahwin RM1,000.

Selain mas kahwin, Nubhan atau nama sebenarnya Ahmad Nubhan Ahamad juga menyerahkan wang hantaran sebanyak RM20,000 berserta lima dulang hantaran dan dibalas dengan tujuh dulang hantaran daripada pihak perempuan.

Majlis nikah penyanyi dan bekas pelajar Akademi Fantasia 6 itu diadakan secara tertutup, hanya dihadiri keluarga kedua belah pihak.

Majlis bersanding sebelah pihak perempuan akan diadakan esok di Seremban dan pihak lelaki  pula akan diadakan pada 31 Oktober di Kuala Pilah.

Nubhan dan Hidayah bertunang pada Oktober tahun lalu.

Berita Harian X