X
Ahad, 30 Ogos 2015 | 8:19am

Bale, Rodriguez ledak dua gol bantu kemenangan sulung Real

PEMAIN Real Madrid, Gareth Bale menjerit kegembiraan selepas berjaya merobek gawang Real Betis seawal minit ke-2 perlawanan. - Foto Reuters
PEMAIN Real Madrid, Gareth Bale menjerit kegembiraan selepas berjaya merobek gawang Real Betis seawal minit ke-2 perlawanan. - Foto Reuters

MADRID: Gareth Bale menamatkan kritikan terhadapnya apabila meledak dua gol bagi membantu kemenangan 5-0 Real Madrid membenam Real Betis pada saingan La Liga Sepanyol, awal pagi tadi.

Ia juga saat manis buat Rafael Benitez yang memperoleh kemenangan pertamanya sebagai jurulatih baharu Real.

Madrid kekal dua mata di belakang pendahulu liga, Barcelona selepas Thomas Vermaelen meledak gol sulung untuk menewaskan Malaga 1-0 di Camp Nou.

Benitez yang dimalukan minggu lalu apabila seri 0-0 kepada Sporting Gijon, kelab yang baharu dinaikkan status ke La Liga, meraikan jaringan besar dengan Bale mendapat gol pembukaan seawal minit ke-2 menerusi sepakan sudut James Rodriguez.

Rodriguez kemudian merembat masuk sepakan percuma dari sudut sempit untuk memastikan Real mendahului 2-0 selepas tamat separuh masa pertama.

Pada babak kedua, Karim Benzema meletakkan Real terus selesa di depan apabila bola tandukannya menembusi gawang lawan pada minit ke-47, diikuti tiga minit kemudian giliran Rodriguez sekali lagi memperoleh gol keduanya.

Bale kembali untuk gol keduanya pada minit ke-88 untuk mengukuhkan kedudukan Real. - AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X