Ahad, 30 Ogos 2015 | 11:10pm

Malaysia berada di jajaran kukuh, landasan yang betul - PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak menegaskan negara ini pada realiti dan hakikatnya masih berada di atas jajaran kukuh serta landasan yang betul.

Perdana Menteri berkata, terdapat lima petunjuk utama berdasarkan fakta dan penyelidikan sahih yang menunjukkan ekonomi negara berkembang walaupun berhadapan cabaran kejatuhan nilai ringgit dan harga komoditi utama.

Katanya, petunjuk pertama ialah di sebalik ketidaktentuan pertumbuhan ekonomi serantau dan global, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diyakini mencapai kadar lima peratus pertumbuhan.

"Tidak seperti tahun 1998, ketika berlakunya krisis kegawatan ekonomi Asia, yang mana ekonomi kita menguncup sebanyak negatif tujuh peratus. Petunjuk kedua pula ialah fundamental atau asas ekonomi negara pada hari ini, lebih kukuh lagi kerana kita mempelajari daripada kesan krisis itu.

"Antara contohnya seperti defisit fiskal kerajaan yang dapat dikurangkan daripada negatif 6.7 peratus pada tahun 2009 kepada 3.2 peratus yang dijangka akan dicapai pada tahun ini," katanya ketika menyampaikan Amanat Hari Kebangsaan 2015, di sini, malam tadi.

Perdana Menteri berkata, petunjuk ketiga ialah kejayaan dasar negara khususnya melalui Dasar Transformasi Nasional, yang membawa kepada penurunan kadar kemiskinan, daripada 49.3 peratus pada tahun 1970 kepada hanya 0.6 peratus pada tahun 2014.

Katanya, KDNK pula meningkat sebanyak 47.7 peratus dari tahun 2009 hingga tahun 2014 dengan sebanyak 1.8 juta peluang pekerjaan diwujudkan sejak pelancaran Program Transformasi Ekonomi pada tahun 2010.

"Petunjuk keempat ialah sekali pun Malaysia terus dihadapkan dengan sekian banyak cabaran domestik dan di arena global, kita masih kekal diiktiraf di mata dunia kerana masih mampu mengawal pengurusan ekonomi negara dengan begitu baik.

"Ini terbukti melalui penarafan dan laporan daripada agensi kewangan antarabangsa seperti Fitch Ratings, Moody's, Standard & Poor's, IMF, yang memberi gambaran sebenar keadaan serta pengurusan ekonomi semasa," katanya.

Perdana Menteri berkata, petunjuk kelima iaitu penubuhan Pusat Transformasi Bandar dan Luar Bandar, Kedai Rakyat 1Malaysia dan pelbagai lagi usaha menerusi dasar transformasi yang berjaya membantu meringankan beban hidup ramai rakyat negara ini.

Sehubungan itu, Perdana Menteri menyangkal dakwaan Malaysia adalah negara gagal berdasarkan lima petunjuk berkenaan dan mahu seluruh rakyat negara ini bermuhasabah serta menilai semula usaha transformasi yang dibawa pentadbiran beliau.

 

Berita Harian X