Khamis, 25 September 2014 | 4:26pm

Program Kembali Bekerja perkasa ekonomi OKU

Kerja dan pekerjaan boleh dianggap sebagai satu aktiviti yang paling penting dalam kehidupan setiap individu. Malah, disamping memenuhi keperluan untuk menyara hidup, kerja membantu untuk mengekalkan kesihatan mental dan kesejahteraan diri. Walau bagaimanapun, gaya hidup yang aktif dan produktif akan terbantut apabila berlaku kemalangan dan penyakit.

Malah, ramai dalam kalangan kita yang bekerja mengalami kecacatan disebabkan oleh kecederaan dan penyakit yang semakin meningkat. Untuk mengurus kes sebegini, Pertubuhan Keselamatan Sosial Malaysia (PERKESO) memperkenal Program Kembali Bekerja (KB) pada tahun 2007. Usaha ini menerima nafas baru di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP).

Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang memerlukan perhatian serta-merta seperti pendidikan, pengangkutan awam bandar, infrastruktur asas luar bandar, isi rumah berpendapatan rendah, jenayah dan rasuah telah menjadi sebahagian inisiatif GTP sejak diperkenalkan pada tahun 2010. Pada bulan Julai 2011, NKRA ke-7 diperkenalkan untuk menangani isu inflasi dan kos harian sara hidup yang meningkat.

Pekerjaan selepas pemulihan

Di bawah NKRA ini, program KB dimasukkan sebagai satu daripada Petunjuk Prestasi Utama Menteri Sumber Manusia untuk menangani kebimbangan kemiskinan dalam kalangan orang kurang upaya (OKU) yang menjadi Bidang Keberhasilan Utama Kementerian (NKRA) di bawah GTP. Oleh itu, program KB memainkan peranan penting dalam memperkasakan ekonomi OKU melalui pekerjaan selepas pemulihan. Termasuk dalam NKRA ialah sasaran untuk mengintegrasikan 1,050 pekerja yang cedera ke dalam tenaga kerja, diikuti dengan 1,700 pekerja yang cedera pada tahun 2011 dan 1,890 pekerja pada tahun 2013.

Antara sebab utama kecederaan berkaitan kerja dalam kalangan pekerja di Malaysia ialah kemalangan berulang-alik (kemalangan tertinggi), penyakit berkaitan pekerjaan dan kecederaan di tempat kerja. Program KB yang direka khas oleh PERKESO bertujuan untuk membantu pekerja yang mengalami kecederaan berkaitan pekerjaan dan mereka yang menuntut pencen kurang upaya serta mendapat lindungan insurans PERKESO kembali bekerja melalui pendekatan bio-psikososial dan pelbagai bantuan lain.

Sebab utama tidak kembali bekerja

Malah, antara sebab utama pekerja tidak kembali bekerja selepas kecederaan di Malaysia adalah:

i. Kehilangan masa dari kerja. Didapati bahawa semakin lama seseorang itu tidak bekerja selepas kecederaan semakin sukar untuk mereka kembali aktif bekerja.

ii. Pekerjaan setelah kembali bekerja. Bebanan kerja walaupun kerja telah dikenal pasti sesuai oleh semua pihak (pekerja, majikan dan PERKESO) tetapi pekerja yang cedera masih rasa tertekan.

iii. Cabaran dari alam sekitar selepas hilang upaya atau sakit.

Setiap tahun PERKESO menerima 78,000 laporan mangsa kemalangan kerja sementara Jabatan Perangkaan melaporkan 163,700 orang diambil kira sebagai OKU (hilang upaya) tiap tahun.

Program RTW yang bermula pada tahun 2007 berjaya memulih purata 1,200 orang pekerja kembali bekerja setiap tahun dan 8,592 orang telah berjaya dipulihkan sehingga pertengahan tahun 2014. Pada masa ini, PERKESO dengan sokongan 727,744 majikan menginsurans seramai 13.2 juta pekerja yang berpendapatan RM3,000 ke bawah. Sumbangan kepada PERKESO adalah 2.25 peratus daripada gaji purata.

PERKESO menguruskan lebih dari 78,000 tuntutan setahun: merangkumi lebih dari 55,000 kemalangan, lebih dari 13,000 orang kurang upaya kekal dan lebih dari 12,000 tuntutan hilang upaya (3,000 disahkan hilang upaya ). PERKESO membuktikan kejayaan KB dan menunjukkan bahawa pulangan sekurang-kurangnya dua kali ganda bagi setiap RM1 dibelanjakan untuk seseorang pekerja yang tercedera. Iaitu apabila pekerja yang tercedera atau kurang upaya kembali menjadi tenaga kerja dengan menyumbang sebanyak 2.25 peratus kepada PERKESO. Lebih dari 8,000 pekerja kembali bekerja sejak KB diperkenalkan.

Jika usaha ini dikembangkan ia bakal menjana peningkatan produktiviti negara sekurang-kurangnya dua kali ganda. Program KB bukan saja usaha murni bagi memenuhi tuntutan keadilan sosial tetapi juga kesan ke atas produktiviti negara. Orang yang cedera dan kurang upaya di Malaysia, akan dapat menjalani kehidupan yang memuaskan dan menjadi penyumbang aktif kepada komuniti mereka.

Penulis ialah Profesor di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya

Berita Harian X