Rabu, 2 September 2015 | 7:22am

Guru, ibu bapa boleh jayakan sistem pengasingan sisa pepejal

GURU boleh mendidik pelajar cara mengasingkan sampah ikut kategori bagi mengurangkan kos selenggara di pusat pelupusan. - Gambar hiasan

Pemeliharaan alam sekitar adalah elemen penting untuk memastikan kesinambungan kehidupan manusia di dunia ini. Antara faktor kesejahteraan hidup manusia adalah akibat daripada hubungan harmoni antara manusia dan alam persekitarannya.

Tanggungjawab memelihara alam sekitar diberikan kepada manusia kerana kita dilantik sebagai khalifah di bumi dan dituntut memelihara alam sekitar serta pelbagai sumber yang disediakan dari Pencipta untuk kelangsungan kehidupan.

Oleh itu, manusia ada peranan sebagai pembina, pengindah dan penyelamat alam sekitar dan bukannya melakukan kemudaratan, kerosakan dan kemusnahan tanpa rasa tanggungjawab.

Jika setiap individu mempunyai rasa kebertanggungjawaban begini, masyarakat di negara ini secara keseluruhannya dapat menghayati budaya menyumbang untuk kepentingan bersama dan memiliki kekayaan moraliti setaraf masyarakat minda kelas pertama.

Dengan sikap, kesedaran dan rasa tanggungjawab ini, usaha kerajaan dalam pembentukan minda dan budaya bangsa agar masyarakat menghargai, bertanggungjawab serta membabitkan diri dalam penjagaan kebersihan dan kesejahteraan persekitaran jadi lebih mudah dan berkesan.

Banyak usaha dilaksanakan kerajaan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan amalan membudayakan kebersihan khususnya 3R (reduce, reuse, recycle) ke arah kelestarian alam sekitar dan seterusnya meningkatkan kadar kitar semula negara yang masih rendah hari ini. Ini berdasarkan kadar nasional bagi tahun 2013 iaitu 12.8 peratus saja berbanding negara maju yang mencatat kadar kitar semula melebihi 40 peratus sejak tahun 2010 lagi seperti Jerman (62 peratus), Switzerland (51 peratus), Sweden (49 peratus) dan Denmark (42 peratus).

Tingkat pemanasan global

Pengurusan sisa pepejal yang lebih efektif boleh menyumbang kepada pengurangan impak negatif kepada alam sekitar dan kesihatan manusia. Jika sisa pepejal tidak dilupuskan dengan sempurna, ia meningkatkan pemanasan global disebabkan oleh pelepasan gas rumah hijau berbahaya di udara, pencemaran air bawah tanah yang memberi kesan kepada kualiti sumber air dicemari oleh leachate dan pencemaran udara akibat pembakaran di tapak pelupusan.

Pelupusan sisa tidak sempurna juga akan memberi kesan yang sangat berbahaya kepada kesihatan manusia, antaranya penularan wabak berpunca daripada pembiakan vektor seperti lalat, tikus dan nyamuk, jangkitan penyakit kulit, mata dan pernafasan serta beberapa jangkitan penyakit yang boleh membawa maut seperti hepatotoxicity (kerosakan hati), nephrotoxicity (kerosakan buah pinggang), pulmonary toxicity (kerosakan paru-paru), neutrotoxicity (kerosakan pada sistem saraf) serta immunotoxicity (kegagalan sistem imunisasi).

Oleh itu, komitmen terhadap penjagaan kebersihan persekitaran dan alam sekitar seharusnya bermula dari rumah. Institusi keluarga yang kecil adalah penentu kepada keberhasilan segala inisiatif yang dilaksanakan dalam skop yang lebih besar pada peringkat masyarakat. Justeru, ibu bapa sebagai pendidik kepada ahli keluarga dan ejen perubahan dalam keluarga haruslah memainkan peranan paling utama bagi menggerakkan segala usaha dilaksanakan oleh peringkat lebih tinggi untuk menerapkan budaya mementingkan kebersihan dan sentiasa bertanggungjawab terhadap persekitaran sekeliling termasuk pengurusan sisa pepejal yang mesra alam.

Peranan dimainkan secara langsung dapat membantu menjayakan inisiatif kerajaan mewajibkan proses pengasingan sisa pepejal di punca bermula pada 1 September ini.

Kesedaran mengenai pengasingan sisa pepejal dan amalan kitar semula khususnya di rumah juga penentu kepada tahap kualiti alam sekitar yang diwariskan kepada generasi akan datang dan memerlukan komitmen yang tinggi. Apabila pengasingan sisa pepejal di rumah dijadikan sebagai amalan dalam kehidupan seharian, tidak mustahil pengasingan sisa pepejal di tempat seperti sekolah, universiti, pejabat, restoran, premis perniagaan dan kilang dapat dijadikan sebagai budaya dalam kalangan rakyat negara ini.

Ia memerlukan komitmen tinggi untuk mengubah mentaliti masyarakat hari ini kepada mentaliti kelas pertama selari dengan sasaran kita menuju negara maju pada tahun 2020. Kemerosotan kualiti alam sekitar negara tidak boleh dipersalahkan kepada mana-mana pihak, sebaliknya setiap individu harus melihat dengan mata hati dan mempertingkatkan kesedaran penjagaan alam sekitar adalah penting bagi pengekalan sumber semula jadi yang dimiliki bersama.

Pengasingan sisa pepejal di punca adalah proses membabitkan pengasingan sampah mengikut kategori. Pengasingan sisa paling asas boleh dilaksanakan dengan mudah di rumah dengan mengasingkan sisa boleh dikitar semula dan sisa yang tidak boleh dikitar semula termasuk sisa makanan. Sisa yang boleh dikitar semula adalah botol plastik, kertas, logam dan kaca.

Tetap tarikh kutipan

Sisa daripada kategori berkenaan termasuk sisa pukal dan sisa kebun perlu diasingkan di dalam ruang penyimpanan berbeza. Bagi memudahkan masyarakat melaksanakan pengasingan sisa pepejal di rumah, kerajaan menetapkan jadual kutipan khusus pada setiap minggu di mana masyarakat perlu meletakkan sisa kitar semula, sisa pukal dan sisa kebun yang telah diasingkan ini di luar rumah untuk dikutip oleh syarikat konsesi yang dipertanggungjawabkan.

Sisa pepejal yang tidak boleh dikitar semula boleh diletakkan di dalam tong sampah yang telah dibekalkan untuk dikutip pada hari perkhidmatan kutipan yang ditetapkan dalam seminggu. Bagi memanfaatkan sisa makanan pula, kaedah pengkomposan mudah boleh dilaksanakan di rumah. Pengkomposan adalah proses di mana sisa makanan yang dicampurkan dengan medium pengurai seperti daun kering, hampas kelapa atau serbuk kayu akan terurai menjadi baja kompos dalam tempoh singkat iaitu tujuh hari.

Baja kompos ini boleh digunakan sebagai baja bagi tanaman di sekeliling rumah atau kawasan perumahan. Kaedah pengkomposan ini bukan saja dapat membantu mengurangkan jumlah penghantaran sisa ke tapak pelupusan, malah ia dapat membantu menjimatkan perbelanjaan untuk membeli baja.

Aktiviti ini boleh juga dijadikan sebagai aktiviti riadah pada hujung minggu yang secara tidak langsung, dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan dan kemasyarakatan.

Peningkatan pengamalan pengasingan sisa pepejal di punca bukan saja dapat meningkatkan kadar kitar semula di Malaysia, malah ia dapat dijadikan sebagai sumber ekonomi negara dengan memanfaatkan sumber daripada bahan yang boleh dikitar semula. Merujuk kepada statistik daripada Malaysian Plastics Manufactures Association (MPMA) (2015), Malaysia mengeluarkan 973 juta botol plastik minuman (bersamaan 19.46 juta kilogram) setahun.

Hasil produk bernilai tinggi

Jika dihitung harga kitar semula botol plastik, iaitu purata RM0.60 sekilogram, maka nilai sisa botol plastik jika dikitar semula di seluruh negara mencecah hampir RM12 juta setahun. Ini sumber yang signifikan kepada industri. Justeru, masyarakat harus menghargai sisa sebagai sumber yang tidak harus dibazirkan.

Pihak industri kitar semula juga digalak menggunakan pendekatan upcycle iaitu pendekatan memanfaatkan bahan kitar semula bagi menghasilkan produk mempunyai nilai lebih tinggi. Sebagai contoh, botol plastik minuman yang dibersihkan boleh diolah menjadi fabrik untuk dijadikan pakaian, tempat duduk kenderaan dan sebagainya. Selain itu, tetrapak (kotak minuman) juga boleh diproses menjadi bumbung bangunan berkualiti dan ada ciri tahan lama, serap bunyi dan selamat. Inovasi upcycle bukan saja boleh menyelamatkan bahan sisa pepejal ini daripada terus dihantar ke tapak pelupusan semata-mata, tetapi boleh memberi pulangan signifikan kepada mereka yang mengusahakannya.

Di samping itu, negara juga dapat mengurangkan kebergantungan mengimport sisa plastik, kertas dan kaca dari negara luar untuk dijadikan sebagai bahan dalam pembuatan sesuatu produk. Segala inisiatif boleh dirancang rapi untuk dilaksanakan tetapi apa yang paling penting adalah kesedaran dan rasa tanggungjawab daripada isi rumah itu sendiri, iaitu masyarakat mengenai kepentingan sisa pepejal di punca.

Berita Harian X