Khamis, 3 September 2015 | 1:27pm

Tabung Haji sedia teroka sektor penjagaan kesihatan

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) bersedia untuk meneroka peluang pelaburan dalam sektor penjagaan kesihatan.

Pengurus Besar (Syariah) TH, Imran Mohammad Khayat, berkata sudah sampai masanya TH melangkah ke hadapan dan meneroka sektor lain selain aktiviti pelaburan yang dijalankan oleh anak-anak syarikat TH.

"TH masih dalam peringkat perbincangan sebelum memulakan langkah memasuki sektor penjagaan kesihatan.

"Ketika ini anak-anak syarikat TH sudah terbabit dalam sektor perladangan, pembangunan hartanah, minyak dan gas, hotel dan perkhidmatan serta pelaburan ekuiti," katanya.

Sementara itu, Imran turut mengulas mengenai simpanan Wadiah yad Dhamanah, inisiatif TH bagi menggalakkan orang ramai mendaftar untuk menunaikan ibadah haji dan umrah, selain memberi bantuan subsidi haji kepada bakal jemaah.

Katanya, ia juga digunakan untuk membantu aktiviti perniagaan dan pelaburan TH termasuk membantu usahawan Islam.

"Dengan kadar simpanan minimum sebanyak RM1,300 dalam akaun tersebut serta mendaftar dengan TH, seseorang individu itu layak berada dalam senarai menunggu bagi menunaikan ibadah Haji.

"Akaun simpanan ini dijamin kerajaan, namun tiada jaminan terhadap kadar pulangan tahunan bagi simpanan tersebut boleh diberikan oleh pihak TH. Bagaimanapun, sekiranya ada pulangan, maka TH akan memberikan hibah (dividen) atau hadiah dalam bentuk bonus tahunan kepada para pendeposit bergantung kepada prestasi kewangan tahun semasa," katanya.

Imran berkata, bahagian Syariah TH berfungsi untuk menjalankan perundingan, penyelidikan dan menyemak aktiviti pelaburan, perniagaan dan operasi TH serta anak-anak syarikatnya berkenaan pematuhan Syariah.

Ia juga bertanggungjawab untuk memantau pelaksanaan resolusi dan keputusan yang telah dibuat oleh Jawatankuasa Penasihat Syariah serta menyelia pelaksanaannya dalam perniagaan dan operasi harian TH. -BERNAMA

108 dibaca
Berita Harian X