Khamis, 3 September 2015 | 2:29pm

Pembubaran Sleeq tepat masanya untuk kebaikan Alyph, Syarif: Diana

KUALA LUMPUR: Bekas pengurus kumpulan Sleeq, Diyana Halik memilih untuk tidak mencampuri kerjaya seni duo itu, walaupun masih mempunyai hubungan rapat dengan mereka.

Namun, isteri kepada pelakon dan pengarah, Aaron Aziz itu percaya langkah diambil oleh Alyph dan Syarif membubarkan kumpulan berkenaan adalah tepat kerana mereka berdua kini mempunyai komitmen sendiri.

Tegas Diyana, beliau sudah tidak menguruskan duo itu sejak tahun lalu apabila sibuk dengan keluarga dan perniagaannya.

"Walaupun hubungan kami rapat, saya tidak campur tangan dalam urusan kerjaya Sleeq terutama selepas tidak menguruskan mereka lagi.

"Bagaimanapun, jika ditanya pendapat peribadi, saya percaya langkah yang diambil oleh Alyph dan Syarif itu tepat pada masanya memandangkan mereka kini mempunyai komitmen sendiri.

"Tidak salah untuk mereka mengorak langkah sendiri untuk masa depan masing-masing. Situasi kini sudah tidak lagi sama terutama apabila masing-masing sudah berumah tangga.

"Apa pun keputusan mereka, saya tetap menyokong selagi ia membawa kebaikan," katanya.

Sleeq yang dianggotai Ahmad Syarifullah Ahmad Soribah (Syarif), 26, dan Muhammad Alif Abdullah (Alyph) 26, adalah bersepupu dan sama-sama memperjuangkan konsep muzik yang diminati mereka iaitu hip-hop dan R&B.

Terdahulu, dua penyanyi yang berasal dari Singapura itu menjelaskan mereka memilih untuk membawa haluan masing-masin.

Lagu #1 adalah single terakhir dari mereka.

Sebelum ini, timbul khabar angin mengatakan keretakan Sleeq berpunca dari pergaduhan isteri mereka.

Alyph bagaimana pun menafikannya dan berpendapat kontroversi itu wujud rentetan daripada pilihan mereka untuk berpecah.

Syarif pula menerusi akaun Instagram miliknya menafikan isteri mereka sebagai punca perpecahan mereka.

Beliau lebih selesa menjelaskan sendiri perihal itu di laman sosial kerana enggan kenyataannya disalah anggap oleh mana-mana pihak.

"Memang benar kami akan berpecah pada November ini. Sedekad bersama memberikan pengalaman indah malah hubungan kami masih lagi baik sehingga kini.

"Apa yang dapat saya katakan, visi dan objektif kami sudah berubah begitu juga dengan perbezaan dalam berkarya. Tidak semua perkara perlu dikongsi dengan umum. Saya optimis malah melihat keputusan ini membantu mempertingkatkan kerjaya seni kami.

"Saya fokus dengan apa yang bakal menanti, selain melaksanakan perancangan peribadi dan mereka yang berada di sekeliling. Setiap yang berlaku mempunyai sebab dan saya yakin ada hikmah di sebalik keputusan yang dibuat ini. Allah lebih mengetahui," tulis Syarif di Instagram.

Kumpulan Sleeq ditubuhkan pada tahun 2005, mereka semakin dikenali menerusi lagu Sesaat Kau Datang dan terus mencipta nama dengan berkolaborasi bersama bintang Youtube, Najwa Latiff melalui lagu Untuk Dia.

Sleeq memperkenalkan lagu Salam Semua yang menampilkan pelakon popular, Aaron Aziz.

Berita Harian X