Jumaat, 4 September 2015 | 8:05am

Definisi rumah mampu milik, erti kemerdekaan

Setiap individu mempunyai tafsiran berbeza mengenai erti kemerdekaan negara bergantung kepada pengalaman hidup masing-masing.

Ada yang menganggap kemerdekaan adalah kebebasan rakyat membuat keputusan, keamanan, kemewahan hidup dan sebagainya. Ada juga yang menganggap kemerdekaan hanya akan bermakna jika mereka dapat menikmati kemudahan hidup yang diwujudkan oleh kerajaan yang dipilih oleh rakyat.

Salah satu kemudahan yang sepatutnya ada bagi setiap individu ialah kemudahan perumahan sebagai tempat berlindung bagi setiap rakyat negara yang merdeka. Minggu lalu, penulis mengulas mengenai isu rumah mampu milik bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana berikutan beberapa usaha yang dilakukan oleh pelbagai pihak untuk membanyakkan pembinaan rumah kediaman, khasnya rumah mampu milik.

Definisi rumah mampu milik

Sebelum mendapatkan kawasan yang sesuai, melukis pelan rumah, menyediakan peruntukan yang diperlukan dan sebagainya, satu definisi mengenai rumah mampu milik perlu dijelaskan terlebih dahulu. Ini disebabkan 'kemampuan' memiliki rumah adalah subjektif sifatnya.

Ada yang hanya mampu membayar pada amaun yang kecil untuk mendapatkan sebuah rumah untuk melindungi keluarga, manakala ada orang yang sanggup membayar dengan harga berlipat kali ganda kerana mahu hidup selesa bagi memenuhi cita-cita kemerdekaan negara.

Walaupun golongan berpendapat rendah dan sederhana yang ramai bilangannya mengharapkan mereka mendapat rumah mampu milik dalam masa terdekat, mereka tidak pasti berapakah harga rumah mampu milik yang dirancang oleh pelbagai pihak. Di bandar besar dan di sebuah bandar yang lain, harga dan ciri rumah berkenaan juga adalah berbeza, begitu juga di daerah-daerah.

Sebahagian besar rakyat mempunyai cita-cita dan pengalaman untuk membeli rumah. Sebelum membeli rumah, mereka juga mempunyai pengalaman menyewa rumah, khasnya bagi mereka yang berhijrah. Ini adalah proses bagi rakyat di sebuah negara yang merdeka untuk meningkatkan taraf hidup. Sistem pendidikan negara yang dirumus mengikut acuan dan kepentingan negara menjadi penentu kepada arus kemajuan negara.

Kadar sewa sebuah rumah bergantung kepada harga dan nilai sesebuah rumah selain daripada lokasi, kemudahan dan sebagainya. Bagi mereka yang berhijrah dan masih bujang, masalah menyewa rumah boleh diatasi dengan berkongsi rumah atau bilik dengan rakan sekerja atau kenalan. Tetapi, bagi mereka yang berkeluarga, untuk mendapat sebuah rumah mampu sewa adalah satu cabaran yang besar, khasnya di bandar besar yang menjadi pusat pentadbiran dan perniagaan.

Keperluan pengangkutan

Tambahan pula, penduduk di bandar besar juga memerlukan kemudahan pengangkutan untuk berulang-alik ke tempat kerja. Rumah mampu sewa mungkin tidak memerlukan definisi tertentu kerana ia banyak bergantung kepada budi bicara tuan rumah. Bagaimanapun, ia tetap bergantung kepada faktor permintaan dan penawaran.

Jika sesebuah kawasan itu mempunyai permintaan rumah sewa yang tinggi manakala penawaran adalah rendah, harga sewa adalah tinggi. Di lokasi begini ia tidak menjadi rumah mampu sewa bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Keadaan ini memaksa golongan ini mencari rumah mampu sewa di kawasan yang jauh dari tempat kerja. Sudah tentulah kita tidak mahu melihat ramai keluarga berkongsi rumah untuk hidup di sebuah negara merdeka.

Kita mahu rakyat yang menetap di rumah sendiri atau masih menyewa mestilah menggambarkan bahawa mereka hidup di sebuah negara yang merdeka. Malaysia tidak seharusnya mewujudkan satu fenomena yang mana rakyat tidak mampu menyewa rumah, apatah lagi memiliki rumah sendiri di bumi Malaysia.

Berita Harian X