Jumaat, 4 September 2015 | 3:12pm

Cederakan pengawal, penganggur dipenjara tujuh bulan

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur dipenjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencederakan seorang pengawal keselamatan.

Majistret, Nur Azura Murah menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Alias Awang, 46, dan memerintahkannya menjalani hukuman berkenaan bermula dari tarikh dia ditangkap pada 1 September lalu.

Alias didakwa memukul [email protected] Hayati Unggak, 47, berhampiran kafe Starbucks, Aras 3 Pavillion, Jalan Bukit Bintang di sini pada 9.50 pagi, pada 1 September.

Alias didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Ketika rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dan bukannya denda. Mengikut fakta kes, ketika kejadian, mangsa ditumbuk dan ditendang oleh tertuduh selepas menegurnya supaya tidak mengganggu pelanggan yang minum di kafe berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ezrene Zakariah. -BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X