Sabtu, 5 September 2015 | 9:28am

Pemimpin antiregim antara 26 maut serangan bom di Syria


PEGAWAI polis dan penyelamat serta penduduk memeriksa tapak pengeboman kereta di pinggir Swieda, Syria.

BEIRUT: Angka kematian serangan dua bom kereta yang menggegarkan pinggir bandar Sweida, Syria hari ini meningkat kepada 26 orang termasuk pemimpin terkenal antiregim Syria, Sheikh Wahid al-Balous.

"Angka kematian susulan serangan bom di pinggir Sweida kini meningkat kepada 26 orang, manakala 50 lagi cedera," kata Rami Abdel Rahman, ketua Badan Pemerhati Hak Asasi Syria.

Abdel Rahman sebelum itu berkata, Sheikh Wahid al-Balous, yang sering mengkritik kedua-dua rejim iaitu kerajaan Syria dan kumpulan Islam, terbunuh dalam serangan itu ketika mangsa dikatakan sedang memandu ke arah bandar itu.

Bom kedua meledak berdekatan sebuah hospital di Dahr al-Jabal.

Agensi berita rasmi Syria, SANA dalam laporan awal menyebut, lapan orang terbunuh manakala 22 lagi cedera.

Sweida adalah bandar yang didiami kumpulan minoriti Druze yang mewakili tiga peratus daripada 23 juta penduduk di Syria.

"Balous adalah ketua kepada kumpulan Sheikhs of Dignity yang bertanggungjawab dalam melindungi kawasan Druze di Syria," kata Malek Abu Kheir, seorang wartawan dari Sweida yang mengenali Balous.

Sheikhs of Dignity adalah kumpulan militan paling kuat di kawasan itu dan mereka memerangi kumpulan Negara Islam (IS) dan serpihan Al-Qaeda Syria. - AFP

29 dibaca
Berita Harian X