Ahad, 6 September 2015 | 3:28pm

Polis KL akan bekerjasama dengan kontinjen negeri kesan Morais

KUALA LUMPUR: Polis Kuala Lumpur akan bekerjasama dengan semua kontinjen negeri dalam usaha mengesan Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Kevin Anthony Morais yang dilaporkan hilang sejak kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Ahmad, berkata siasatan akan dilakukan secara menyeluruh termasuk siasatan terhadap penemuan sebuah kereta yang terbakar 100 peratus di Hutan Melintang, Perak awal pagi semalam.

"Setakat ini kita belum dapat perkembangan yang positif dan kereta yang ditemui di ladang kelapa sawit di Hutan Melintang, Perak pada jam 10 pagi semalam, didapati tiada nombor casis.

"Kita masih belum dapat mengenal pasti model dan nombor pendaftaran kereta terbabit. Kita akan meminta bantuan daripada semua kontinjen negeri untuk menyalurkan maklumat berhubung kejadian ini," katanya.

Zainuddin berkata, kes diklasifikasikan sebagai orang hilang (OH).

Morais yang sebelum ini bertugas di bawah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Menara Duta 1, Kondominium Jalan Dutamas Raya, di sini pada jam 9 pagi, kelmarin.

Beliau yang memandu sendiri kereta Proton Perdana milik kerajaan berwarna kelabu dengan menggunakan nombor pendaftaran WA6262Q.

Berita Harian X