Ahad, 6 September 2015 | 5:34pm

Anugerah ini milik Allah - Fazura


FAZURA dinobatkan Pelakon Wanita Terbaik pada FFM 27. - Foto Adi Safri

KUALA LUMPUR: Kemenangan Fazura pada malam kemuncak Festival Filem Malaysia ke-27 bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Manisnya Cinta Di Cappadocia bagi watak Ifti itu dilihat menepati ramalan sekalipun dilihat melalui laluan sukar berentap dengan beberapa nama besar lain seperti Lisa Surihani dan Maya Karin.

Tetapi ternyata rezeki sudah tertulis buat pemilik rangkaian rumah fesyen House Of Doll itu.

Turut berentap bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik namun ia berpihak kepada lakonan Nadiya Nisaa, kejayaan kedua Fazura selepas memenangi kategori Pelakon Harapan pada FFM edisi ke-17 lalu sekali gus menamatkan penantian beliau selepas hampir 11 tahun menunggu detik malam Sabtu lalu ketika berlangsungnya anugerah berkenaan di Dewan Plenari, Pusat Konvesyen Kuala Lumpur.

Nama Fazura kini sebaris dengan primadona lain yang pernah memenangi kategori berkenaan seperti Allahyarham Azean Irdawaty, Fauziah Ahmad Daud dan Erma Fatima. Kelibat dan tangisan Fazura di atas pentas sewaktu namanya diumumkan sebagai pemenang umpama primadona baharu yang diharap akan terus cemerlang lagi pada masa mendatang.


FAZURA bersama Lee Sai Peng (kiri) memenangi anugerah bagi kategori Pelakon Wanita dan Lelaki Terbaik pada FFM 27. - Foto Adi Safri

"Untuk kata setanding dengan mereka itu tidaklah juga. Pada saya mereka lagenda yang lain darjat dan kelasnya. Tetapi pastinya kejayaan ini meletakkan saya sendiri ke satu tahap yang lebih baik. Sekurang-kurangnya trofi idaman ramai ini pernah berada dalam genggaman saya. Jadi apa jadi selepas ini, andai saya berkahwin atau bersara.... siapa tahu bukan dan hakikatnya cukup saya pernah melakar jaya. Saya sudah cukup gembira.

"Anugerah ini milik Allah. Ia akan jadi pembakar semangat. Insya-Allah saya akan terus berkongsi bakat yang ada," katanya yang anggun dengan rekaan busana berwarna hijau zamrud sentuhan Rizman Ruzaini dan tatarias sendiri.

Berita Harian X