Isnin, 7 September 2015 | 12:00am

Baby Hatch tidak gagal - OrphanCARE


TANGGAPAN negatif susulan program Baby Hatch oleh Yayasan OrphanCARE (OrphanCARE) semakin lenyap ditelan waktu. Dalam tempoh tujuh tahun sejak OrphanCARE mula beroperasi, seramai 123 bayi diselamatkan dan diserahkan kepada keluarga angkat.

Daripada jumlah itu hanya 17 bayi diperoleh menerusi Baby Hatch. Ternyata, angka bayi diselamatkan ini jauh lebih kecil berbanding jumlah bayi yang dibuang. Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan sebanyak 89 kes pada tahun 2012 diikuti 59 kes pada tahun 2013.

Pegawai Pengurusan Projek OrphanCARE, Syarhah Mohamed Tahir, berkata adalah tidak adil untuk membandingkan bilangan bayi yang diterima Baby Hatch dengan bayi dibuang, apatah lagi menyimpulkan program itu sebagai gagal mengurangkan pembuangan bayi.

"Kita bercakap mengenai subjek sama iaitu bayi. Tetapi sama ada bayi diletakkan di Baby Hatch atau dibuang di mana-mana, puncanya adalah tidak sama. Mana mungkin kita katakan Baby Hatch ini sebagai gagal dalam menangani jenayah pembuangan bayi?

"Bayi yang diletakkan di Baby Hatch kerana ia tidak diingini, sedangkan dalam isu pembuangan bayi, pelaku sememang tidak mahu bayi itu hidup, atau mempunyai niat untuk membiarkan bayi berkenaan mati," katanya ketika ditemui di OrphanCARE, baru-baru ini.

Syarhah antara tulang belakang operasi OrphanCARE, insan awal menyaksikan pembangunan dan perkembangan yayasan itu tahun 2008.

Kanak-kanak perlukan keluarga


SYARHAH menunjukkan cara penjagaan bayi. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Operasi OrphanCare dibantu oleh sembilan tenaga kerja selain lebih 10 sukarelawan. Pada peringkat permulaan penubuhan OrphanCARE, ia dicop seolah-olah menggalakkan pasangan belum kahwin menghasilkan anak luar nikah dengan penubuhan baby hatch.

Hakikatnya, tujuan sebenar supaya ibu anak luar nikah tidak membuang atau membunuh bayi yang tidak berdosa. Ini kerana sama ada Baby Hatch ada atau tidak, gejala ini tetap berlaku dalam masyarakat hari ini.

Idea kewujudan pusat itu bermula ketika bencana tsunami melanda Aceh dan Malaysia kerana ketika itu ramai anak kehilangan keluarga. OrphanCARE percaya setiap kanak-kanak memerlukan keluarga untuk berlindung.

Kempen awal mendapat maklum balas baik, namun OrphanCARE menumpukan perhatian kepada kanak-kanak yang berada di rumah anak-anak yatim di seluruh Malaysia.

Buka ruang perbincangan

Pada tahun 2010, OrphanCARE menubuhkan Baby Hatch Malaysia yang pertama kerana peningkatan bilangan kes pembuangan bayi.

Bayi diletakkan di Baby Hatch selamat. Kamera litar tertutup diletakkan di bahagian atas bilik berkenaan untuk tujuan keselamatan bayi itu sendiri.

"Sebetulnya kita tidak mahulah terima bayi itu 'bulat-bulat' dan kalau boleh ingin bertemu dengan ibu atau bapa yang meletakkan bayi berkenaan kerana kita juga mahu menghulurkan bantuan diperlukan kepada mereka juga. Ada sebab mengapa bayi diserahkan mungkin kerana kemiskinan, bayi akibat dirogol atau sebab lain.

"Kita membuka ruang untuk perbincangan. Malah dalam banyak kes, selepas kita berjumpa dengan ibu yang meletakkan bayi itu di baby hatch, mereka bertukar fikiran dengan mengambil anak itu semula atas dasar sayang," katanya.

Syarhah berkata, keadaan bayi diterima adalah pelbagai. Ada yang menyertakan surat maaf selain menyatakan status agama kanak-kanak berkenaan. Daripada 17 bayi Baby Hatch, hanya seorang menyatakan sebagai bayi bukan Islam. Bayi ini disertakan sekali dengan dokumen membuktikan ibu bayi itu bukan Islam.


PEGAWAI Pengurusan Projek OrphanCARE, Syarhah Mohamed Tahir. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Penerimaan orang ramai

Mengulas mengenai penerimaan orang ramai terhadap kewujudan Baby Hatch, Syarhah berkata secara amnya semua pihak profesional dan ilmuan, menyokong usaha kewujudan Baby Hatch untuk menyelamatkan bayi sebagai fardu kifayah, namun 'lompang' yang ada mungkin daripada segi promosi.

"Dalam usaha memperkenalkan Baby Hatch, kita ada buat program kesedaran di kolej dan universiti, minta mereka 'like' laman Facebook kami. Hubungan antara remaja lebih mesra. Mungkin kalau mereka ada kawan bermasalah, mereka boleh rujuk kepada kami. Program kesedaran seperti ini memerlukan masa mencapai sasaran.

"Membawa bayi ini ke sini, ia memerlukan keikhlasan juga. Nak bawa bayi dan letak di sini, bukan semua orang yang boleh lakukan. Sebab itulah kita tidak boleh menilai orang. Kita terima bayi ini tetapi kita tidak boleh menilai pelaku sebagai rosak akhlak secara 'membabi buta'," katanya.

Merujuk satu kes, Syarhah berkata melalui rakaman CCTV, walaupun tidak dapat kenal pasti ibu bapa bayi berkenaan kerana rakaman dari bahagian atas, tetapi jelas pasangan berkenaan menangis di sisi bayi, mengucup bayi akan ditinggalkan itu, berkali-kali.

Ada juga pasangan yang sertakan surat menyentuh hati kerana menasihati anak itu untuk menghormati dan menyayangi ibu bapa angkatnya.

   

"Kita tidak boleh menghukum mereka kerana tidak tahu apa masalah yang mereka hadapi," katanya.


SYARHAH menunjukkan cara memasukkan bayi ke dalam Baby Hatch. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Bayi pertama terima, kudung comel

"Kes pertama Baby Hatch yang saya terima, selepas enam hari bekerja. Seorang bayi kudung comel yang saya panggil Karina," kata Syarhah mengimbau kenangan sukar dilupakan sepanjang bersama baby hatch.

Kata Syarhah, bayi itu diterima pada hari Sabtu dalam usia lebih kurang sebulan. Bayi itu dijaga Syarhah lebih kurang sebulan atas perintah mahkamah untuk memberi peluang OrphanCARE mendapatkan pasangan ibu bapa angkat yang sesuai untuk bayi sebab beliau perlu pastikan bayi berkenaan mendapat suntikan dan melakukan ujian tertentu sebelum diserahkan kepada keluarga angkat.

   

"Selain kudung, bayi ini juga sumbing. Saya terpaksa bawa bayi berkenaan ke banyak klinik sepanjang dalam jagaan, termasuk ke klinik prostetik. Sebab itu saya ingat sangat dengan Karina," katanya.

Karina diserahkan kepada pasangan tidak punyai anak yang kelihatan cukup gembira menerima Karina seadanya.

"Saya ada titipkan nasihat kepada pasangan ini, untuk mendidik Karina menjadi insan yang yakin dengan diri sendiri. Saya berpeluang bertemu Karina pada tahun 2012 yang sudah ada nama baharu. Karina juga sudah menjalani pembedahan pemulihan untuk sumbing," katanya menjelaskan Baby Hatch berpegang kepada prinsip 'Setiap kanak-kanak memerlukan keluarga'.

Luaskan operasi

Dalam perkembangan lain, OrphanCARE, bakal membuka cawangan ketiga di Sungai Petani Kedah pada September ini. Lokasi sedia ada ialah di Petaling Jaya dan Johor Baharu.

Kata Syarhah, dalam usaha membantu bayi Baby Hatch menemui keluarga angkat, pihaknya menjalin usaha sama dengan KPJ Healthcare Berhad untuk membantu menguruskannya sekiranya terdapat bayi yang diletakkan dalam Baby Hatch Hospital KPJ di Semenanjung Malaysia. Hospital KPJ mempunyai 10 Baby Hatch di cawangan terpilihnya.

"Kita mahu anak itu membesar dalam persekitaran positif, penuh kasih sayang dan tiada diskriminasi kerana bayi itu tidak bersalah, sebaliknya ibu bapa perlu mencorakkan mereka menjadi insan terpuji,' katanya.

Beliau turut memberitahu, proses pemantauan situasi bayi dilakukan menerusi lawatan berkala.

INFO

OrphanCARE

484 dibaca
Berita Harian X