Selasa, 8 September 2015 | 12:07am
PELAKON, Kodi Rasheed (kanan) pada Festival Filem Malaysia ke 27 di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. - Foto Adi Safri
KODI Rasheed pada sidang media Festival Filem Malaysia ke -27 (FFM27) di Menara Kuala Lumpur. - Foto Zunnur Al Shafiq

Kodi Rasheed anggap trofi FFM rezeki kahwin

KUALA LUMPUR: Pemenang kategori Pelakon Harapan Lelaki Festival Filem Malaysia (FFM) ke - 27, Kodi Rasheed yang diangkat menerusi lakonannya dalam filem Ophilia menjelaskan dirinya bukan sahaja menggenggam trofi berkenaan.

Malah lebih daripada itu beliau teruja apabila bakal berlangsung majlis bertandang perkahwinannya dengan isteri tercinta Nur Fathihah Mahat di Selayang.

Kodi terlebih dahulu bernikah dengan isterinya pada 31 Ogos lalu yang jatuh pada Hari Kemerdekaan edisi ke-58 dengan majlis berlangsung serba sederhana.

Malah selesai majlis nikah dan bertandang, satu lagi majlis akan berlangsung pada 12 September ini bertemakan Bollywood meraikan Kodi dan isterinya dan ketiga-tiga majlis berlangsung di Selayang.

Bagi Kodi atau nama sebenarnya Mohd Syazmeer Mohd Rasheed, 25, dia menerima hadiah berganda yang pastinya akan dikenang sampai bila-bila.

Malah kejayaan sulung Kodi di FFM27 menerusi watak Totoi, seorang pemuda 'skinhead' yang lurus bendul, pekak tetapi penyayang di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu turut menyimpul sisi tersendiri buat insan yang paling dihormatinya iaitu aktor Que Haidar.


PEMENANG Anugerah Pelakon Harapan Lelaki, Kodi Rasheed. - Foto Adi Safri

"Alhamdulillah kejayaan ini ibarat rezeki kahwin saya. Tak tahu nak gambarkan bagaimana perasaan yang bertandang. Malah nak cakap apa pun, lidah jadi kelu sebenarnya.

"Tapi kejayaan ini takkan datang tanpa mereka yang sentiasa memberi peluang dan sokongan kepada saya. Kepada abang Raja Mukhriz (pengarah Ophilia), Sharifah Shahora, Pekin Ibrahim, team serta kru Ophilia, penulis skrip, keluarga dan kawan, terima kasih banyak.

"Tak saya lupakan kepada insan yang saya anggap sebagai sifu dan guru iaitu Que Haidar. Dia juga antara insan yang menjadi kawan akrab saya.

"Dialah yang banyak memberi sokongan dan nasihat untuk saya menjadi manusia berguna sekali gus pelakon yang baik. Alhamdulillah selepas enam tahun mencuba nasib dan hanya menerusi filem ini bakat saya mula diperhatikan. Syukur... ," katanya yang menewaskan saingan daripada Ghabir Akbar, Azwan, Anas Ridzuan dan Fadlan Hazim menerusi kategori Pelakon Harapan Lelaki kepada BH Plus.

Menceritakan secara lanjut detik perkenalan dengan Que, dia mula mengenali pelakon yang kini bergelar tenaga pengajar Akademi Fantasia 2015 itu sejak tujuh tahun lalu.

Susur galur perkenalan mereka bermula sekitar enam tahun lalu selepas percubaannya untuk belajar di Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dalam kursus lakonan tidak menjadi dan akhirnya membuka jalan lain pula hingga dipertemukan dengan Que.

"Selepas gagal untuk masuk ASWARA, dipendekkan cerita saya meneruskan pencarian di internet dalam misi nak belajar menari pula. Nak dijadikan cerita saya dapat carian studio Linda Jasmine Performing Arts Studio di Ampang.

"Saya ke studio Linda Jasmine (isteri Que Haidar) dan tanpa diduga ada pakej kursus yang menawarkan bidang tarian dan lakonan dalam satu masa.

"Dapat pula tahu kursus lakonan diajar Que Haidar dan saya yakin jalan yang dipilih ini betul dan seperti dipermudahkan.

"Saya belajar bidang tarian dan lakonan di studio berkenaan selama setahun setengah. Sepanjang tempoh itu banyak ilmu yang saya dapat. Ilmu lakonan yang diperturunkan Que kepada saya juga sangat banyak. Malah biar sudah tamat belajar, ilmu itu terus berjalan sampai sekarang.


MOHD Zhazmeer Mohd Rasheed atau lebih dikenali sebagai Kodi Rasheed. - Foto Zunnur Al Shafiq

"Saya sendiri tak berhenti belajar. Daripada situ juga saya mula kenal rapat dengan Que. Kami sudah macam adik beradik.

"Selepas belajar di studio milik isterinya, saya menyertai kursus pendek di ASWARA dalam bidang teater. Daripada situ juga, saya menjadi pembantu peribadi (PA) kepada Que untuk cerita Malaikat Tersembunyi. Kemudian, abang Mukhriz mengajak saya menjadi PA beliau dan ditawarkan watak Totoi dalam filem Ophilia," katanya.

Tambah Kodi ketika menjadi PA kepada Que, dia turut mencuri peluang itu untuk terus menambah ilmu dalam dunia seni.

"Saya bukan sahaja belajar selok belok dunia lakonan, saya mempertajamkan skil berhadapan dengan orang serta berinteraksi.

"Saya ini memang tak ada asas lakonan yang baik. Pendek kata memang saya kosong dalam dunia ini tetapi saya timba pengalaman itu daripada pembelajaran dan pengamatan," katanya.

Ditanya mengenai Que Haidar daripada kaca matanya, Kodi memberitahu pelakon itu seorang yang berbakat besar dan umpama lagenda tersendiri.

"Hingga saat ini, saya tak pernah jangka boleh berjumpa dengan dia dan jadi rapat. Dialah salah satu contoh idola terbaik buat saya. Tak sangka sebenarnya rentetan perjalanan hidup saya akhirnya dipertemukan dengannya. Saya memang kata pada diri ini, kalau jumpa dia (Que)... saya memang nak dia turunkan ilmu lakonannya.

"Ternyata dia seorang yang sangat baik dan menyokong. Dia tak kedekut ilmu termasuk berkongsi apa sahaja kaitan lakonan.

"Dialah cikgu yang sanggup menghubungi saya dua pagi untuk memberi motivasi dan nasihat ketika saya hampir patah semangat. Dia jenis manusia yang ada masa setengah jam pun akan manfaatkan ilmu yang ada sebaik mungkin kepada saya.

"Dia bukan jenis yang sekat ilmu. Dia beri dan terus beri. Dia seorang yang bertanggung jawab dengan kerja. Sekali lagi terima kasih cikgu Que Haidar kerana atas pengalaman berharga sebelum ini.

"Insya-Allah saya dan dia juga dalam perancangan untuk menjadi rakan kongsi perniagaan bagi mempromosikan seluar pelikat. Harap ia akan menjadi tak lama lagi," katanya.

Kodi yang mengenali isterinya lebih enam tahun lalu berkata, mereka bercinta sejak dua tahun lalu dan isterinya langsung tidak terbabit dalam kerjaya seni. Usia isterinya 27 tahun.

"Perancangannya memang saya nak kahwin dahulu dan kemudian fokus lakonan. Kiranya perancangan itu hampir tepat. Secara rasminya saya mula dikenali sejak tahun lalu. Cuma selama enam tahun menceburi dunia lakonan, tuah belum ada dengan saya lagi ketika itu.

"Tapi saya percaya tuah dan jalan itu akan ada. Cuma lambat atau cepat sahaja. Insya-Allah," katanya.

Mengenai perancangan berbulan madu, Kodi masih belum tahu ke mana lagi destinasinya.

"Tapi ikut kehendak hati dan semoga dipermudahkan, saya ada niat nak mengerjakan umrah dengan isteri. Sekarang ini saya dan isteri masih tinggal di rumah keluarga saya di Batu Caves, Selayang.

"Keluarga pun tak bagi saya pindah dahulu. Sementara itu, bolehlah saya fokus lakonan dan perniagaan. Saya ada buka kedai menjual serta memperbaiki telefon bimbit selain menyediakan perkhidmatan percetakan di Pangsapuri Laksamana, Selayang," katanya.

Info Kodi Rasheed

- Mula menampakkan sinar apabila berpeluang beraksi dalam filem pertamanya, Ophilia. Jejaka kelahiran Kuala Lumpur itu yakin, bakatnya mula diperhatikan selepas Ophilia.

- Selain Ophilia, Kodi pernah membintangi telefilem Lorong Kecil Ke Syurga dan Hantu Wefie serta baru menyelesaikan penggambaran filem arahan Osman Ali, Kau Yang Satu.

- Ophilia membariskan dirinya bersama dengan bintang yang terlebih dulu mencipta nama dan dianggap antara pelakon hebat, Que Haidar dan Pekin Ibrahim

- Ophilia arahan Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin yang turut dinobatkan sebagai Pengarah Harapan di FFM 27 ditayangkan tahun lalu bermula 18

Disember.

Berita Harian X