Selasa, 8 September 2015 | 12:10am

Iltizam berterusan perangi rasuah


LONJAKAN kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) adalah bukti negara sering tangani salah guna kuasa.

KUALA LUMPUR: Usaha memerangi rasuah di negara ini menampakkan impak positif dari setahun ke setahun berdasarkan lonjakan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) bagi tempoh lima tahun, bermula 2010 lalu.

  Berdasarkan laporan Transparency International Malaysia (TI-M), kedudukan negara kita dalam senarai terbabit melonjak dari satu tangga ke satu tangga sehingga mencapai kedudukan ke-50 pada tahun lalu daripada 175 negara yang disenaraikan.

Kedudukan terkini itu menyaksikan Malaysia mencatatkan skor 52 daripada 100 mata, berbanding 50 mata pada tahun 2013 yang meletakkan negara pada kedudukan ke-53 pada tahun terbabit. 


KEDUDUKAN Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia dari tahun 2010-2014.

Kedudukan lebih baik

  Pada tahun 2012, CPI negara berada pada kedudukan 54 berbanding ke-60 pada tahun 2011 dan ke-56 pada tahun sebelumnya. Berdasarkan indeks berkenaan, skor 0 bermakna amalan rasuah sangat tinggi, manakala skor 100 adalah bebas rasuah.

Lonjakan ke kedudukan yang lebih baik dari setahun ke setahun itu menunjukkan persepsi masyarakat semakin positif terhadap usaha membanteras rasuah yang dilaksanakan di negara ini.

Ia juga hasil inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Membanteras Rasuah yang dilancarkan oleh kerajaan bertujuan memberi kesedaran dan mewujudkan masyarakat tiada toleransi terhadap gejala itu, sekali gus mengukuhkan usaha membanteras kegiatan tidak bermoral berkenaan.      

  Usaha serius di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP) itu bermatlamat mewujudkan rangka kerja pencegahan rasuah yang teguh untuk mengenal pasti, mencegah dan mendakwa salah laku rasuah dengan lebih berkesan.

  Menurut laporan GTP 2014, usaha kerajaan memerangi rasuah dapat dilihat dengan penubuhan 14 Mahkamah Sesyen Rasuah di setiap negeri dan penyelarasan sistem perancangan membantu badan kehakiman menyelesaikan kes dalam tempoh setahun.


GRAF menunjukkan negara yang terbabit kes rasuah tinggi.

Tiada kes tertangguh

  Pasukan pendakwaan juga berjaya mensabitkan 81 peratus daripada semua kes rasuah yang dibicarakan, malah hakim kanan dan Timbalan Pendakwa Raya ditugas mengendalikan kes rasuah untuk setiap bidang kuasa.

Penambahbaikan itu menyaksikan tiada kes rasuah tertangguh yang belum dibicarakan sehingga Disember 2014.

  Malah, NKRA Membanteras Rasuah berjaya memperoleh pencapaian menubuhkan Jawatankuasa Integriti dan Tadbir Urus (JITU) di setiap kementerian dan agensi kerajaan, sesi komunikasi media Ketua Setiausaha berhubung Laporan Ketua Audit Negara serta menubuhkan Jabatan Integriti dan Pematuhan standard (JIPS).   

  Usaha memperkasakan SPRM juga dilaksanakan melalui program transformasi yang dilaksanakan melalui enam garis perkhidmatan, iaitu pemeriksaan, pencegahan rasuah sektor swasta, pembangunan kandungan, pembabitan politik, pembabitan masyarakat awam dan media serta komunikasi.


KEDUDUKAN Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia dalam kalangan 175 negara pada tahun 2014.
Berita Harian X