Rabu, 9 September 2015 | 12:17am
NASIR Bilal Khan. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
KETUA Nazir Negeri Kedah, Ahmad Rusli Din (tengah) membuat gimik pelancaran Bulan Kemerdekaan Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti Kedah, di Kompleks Persekutuan Kerajaan, Bandar Muadzam Shah, Anak Bukit, sambil diperhatikan Nasir (kanan). - Foto Danial Noordin
NASIR membawa watak Tok Adi, penggali kubur dalam drama bersiri Tanah Kubur.

Nasir Bilal Khan buat orang gerun

AKTOR Nasir Bilal Khan kini sinonim dengan watak penggali kubur yang dijayakan dalam drama bersiri Tanah Kubur. Beliau juga cukup popular dengan watak itu menerusi drama Cinta Si Penggali Kubur, yang pernah ditayangkan di TV3.

Beliau juga tidak berkecil hati biarpun wataknya dalam drama bersiri itu sering dijadikan bahan jenaka oleh sesetengah pelawak dalam persembahan pentas mereka.

Malah, pemenang anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-11 (FFM11) itu menjelaskan, pelawak yang menjadikan dirinya sebagai modal lawak terlebih dahulu meminta izin daripadanya.

Shahrol Shiro adalah seorang daripada pelawak yang menjadikan beliau sebagai modal lawak dan terlebih dahulu meminta izin daripada Nasir.

"Saya tiada masalah apabila ada pelawak yang meniru gaya percakapan saya kerana ia tidak membawa apa-apa maksud," katanya.

Nasir berkata, lakonannya dalam Tanah Kubur sebagai Tok Adi telah memberi kesan dan pengaruh dari aspek kerohanian dalam kehidupan sehariannya.


NASIR tidak berkecil hati biarpun wataknya sebagai penggali kubur sering dijadikan bahan jenaka oleh sesetengah pelawak dalam persembahan pentas mereka

Jelasnya, kisah yang dipaparkan banyak memberi peringatan berguna dan berharap ia meninggalkan kesan kepada penonton khususnya umat Islam.

Nasir berkata, sebagai anak seni, dia akan terus memberi sokongan terhadap penghasilan drama atau filem yang memberi kesedaran dan keinsafan kepada penonton.

"Sepanjang melakonkan watak untuk drama bersiri Tanah Kubur, saya rasa ia banyak memberi pengajaran dan impak besar kepada aspek kerohanian dan saya berharap penonton turut merasai perkara sama.

"Jika dalam cerita seram, orang takut hantu, tetapi dalam drama bersiri ini, mereka takut pada dosa," katanya kepada BH PLUS.

Drama Tanah Kubur karya pengarah Rashid Sibir mengisahkan kehidupan seorang penggali kubur yang berhadapan dengan pelbagai situasi bagi menyelesaikan tanggungjawabnya.

Antaranya, kemunculan ular hitam di liang lahad akibat amalan memakan riba, nisan mengeluarkan api kerana si mati sewaktu hayatnya suka mengumpat dan liang lahad mengeluarkan air hitam busuk kerana si mati dulunya suka memakan harta anak yatim


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak (tengah) menyampaikan anugerah kepada pelakon, Nasir Bilal Khan pada Majlis Himpunan Sang Sapurba Segayong di Dewan Besar Pusat Kebudayaan & Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia. - Foto Munira Abdul Ghani

"Tidak dinafikan ada yang gerun melihat kelibat saya, namun ia tidak mendatangkan sebarang kesan kepada saya. Itu terpulang kepada pilihan masing-masing.

"Jika mereka gerun melihat kelibat saya, masalah itu bukan datang daripada saya sebaliknya mereka sendiri. Saya hanya menjalankan tanggungjawab sebagai seorang pelakon. Karakter saya berbeza dengan watak yang dijayakan oleh saya menerusi drama bersiri itu," katanya.

Hakikatnya, watak Tok Adi lakonan Nasir begitu serasi dan mendapat tempat di hati penonton. Karakter berat dan serius lakonannya menggamit memori zaman kegemilangannya menerusi filem Perempuan, Isteri & .....

Berita Harian X