Khamis, 10 September 2015 | 12:09pm

Kodi Rasheed tak lupa jasa Que Haidar

KODI Rasheed. - Foto BH Online

KUALA LUMPUR: Di sebalik kejayaan sulung Kodi Rasheed sebagai Pelakon Harapan Lelaki Festival Filem Malaysia (FFM) ke-27 baru-baru ini, bintang baharu itu tak melupakan untuk menitipkan tanda terima kasih kepada insan yang cukup bermakna di dalam hidupnya iaitu Que Haidar.

Bagi Kodi, Que disifatkan sebagai guru atau sifu lakonannya. Bermula sebagai pelajar yang menimba ilmu dengan Que, kemudian bergelar pembantu peribadi kepada pelakon berkenaan, mereka kini cukup akrab sebagai kawan. Malah mereka sedang dalam rangka untuk menjalinkan kerjasama dalam perniagaan seluar pelikat tak lama lagi.

Menceritakan secara lanjut detik perkenalan dengan Que, dia mula mengenali pelakon yang kini bergelar tenaga pengajar Akademi Fantasia 2015 itu sejak tujuh tahun lalu. Susur galur perkenalan mereka bermula sekitar enam tahun lalu selepas percubaannya untuk belajar di Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dalam kursus lakonan tidak menjadi dan akhirnya membuka jalan lain pula hingga dipertemukan dengan Que.

"Selepas gagal untuk masuk ASWARA, dipendekkan cerita saya meneruskan pencarian di internet dalam misi nak belajar menari pula. Nak dijadikan cerita saya dapat carian studio Linda Jasmine Performing Arts Studio di Ampang. Saya ke studio Linda Jasmine (isteri Que Haidar) dan tanpa diduga ada pakej kursus yang menawarkan bidang tarian dan lakonan dalam satu masa.

"Dapat pula tahu kursus lakonan diajar Que Haidar dan saya yakin jalan yang dipilih ini betul dan seperti dipermudahkan. Saya belajar bidang tarian dan lakonan di studio berkenaan selama setahun setengah. Sepanjang tempoh itu banyak ilmu yang saya dapat. Ilmu lakonan yang diperturunkan Que kepada saya juga sangat banyak. Malah biar sudah tamat belajar, ilmu itu terus berjalan sampai sekarang.

"Saya sendiri tak berhenti belajar. Daripada situ juga saya mula kenal rapat dengan Que. Kami sudah macam adik beradik. Selepas belajar di studio milik isterinya, saya menyertai kursus pendek di ASWARA dalam bidang teater. Daripada situ juga, saya menjadi pembantu peribadi (PA) kepada Que untuk cerita Malaikat Tersembunyi. Kemudian, abang Mukhriz mengajak saya menjadi PA beliau dan ditawarkan watak Totoi dalam filem Ophilia," katanya.

Tambah Kodi ketika menjadi PA kepada Que, dia turut mencuri peluang itu untuk terus menambah ilmu dalam dunia seni.

"Saya bukan sahaja belajar selok belok dunia lakonan, saya mempertajamkan skil berhadapan dengan orang serta berinteraksi. Saya ini memang tak ada asas lakonan yang baik. Pendek kata memang saya kosong dalam dunia ini tetapi saya timba pengalaman itu daripada pembelajaran dan pengamatan," katanya.

Ditanya lanjut mengenai bagaimana Que Haidar daripada kaca matanya, Kodi memberitahu pelakon itu seorang yang berbakat besar dan umpama legenda tersendiri.

"Hingga saat ini, saya tak pernah jangka boleh berjumpa dengan dia dan jadi rapat. Dialah salah satu contoh idola terbaik buat saya. Tak sangka sebenarnya rentetan perjalanan hidup saya akhirnya dipertemukan dengannya. Saya memang kata pada diri ini, kalau jumpa dia (Que)... saya memang nak dia turunkan ilmu lakonannya.

"Ternyata dia seorang yang sangat baik dan menyokong. Dia tak kedekut ilmu termasuk berkongsi apa sahaja kaitan lakonan. Dialah cikgu yang sanggup menghubungi saya jam 2 pagi untuk memberi motivasi dan nasihat ketika saya hampir patah semangat. Dia jenis manusia yang ada masa setengah jam pun akan manfaatkan ilmu yang ada sebaik mungkin kepada saya.

"Dia bukan jenis yang sekat ilmu. Dia beri dan terus beri. Dia seorang yang bertanggung jawab dengan kerja. Sekali lagi terima kasih cikgu Que Haidar kerana atas pengalaman berharga sebelum ini. Insya-Allah saya dan dia juga dalam perancangan untuk menjadi rakan kongsi perniagaan bagi mempromosikan seluar pelikat. Harap ia akan menjadi tak lama lagi," katanya yang baru saja berkahwin dengan Nur Fathihah Mahat di Selayang pada 31 Ogos lalu.

Berita Harian X