Khamis, 10 September 2015 | 10:32pm

FINAS bakal hantar calon filem terbaik FFM27 ke Oscar

KETUA Pengarah FINAS, Datuk Kamil Othman dan Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan, Khalidah Mohd Darus semasa sesi bersama media di Hotel Aloft Bangsar. - Foto Hasriyasyah Sabudin

KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bakal menghantar satu daripada lima calon filem terbaik karya tempatan untuk dinilai Jawatankuasa Anugerah Academy ke-88 bersaing merebut Oscar dalam kategori Filem Bahasa Asing musim depan.

Ketua Pengarah FINAS, Datuk Kamil Othman, berkata setiap negara yang sudah berdaftar dengan Academy of Motion Pictures Art and Sciences (AMPAS) boleh menghantar sebuah judul untuk ditapis penganjur sebelum layak diletakkan sebagai calon awal.

"Malaysia mendapat pengesahan daripada AMPAS sekali gus termasuk dalam 154 negara yang boleh menghantar filem mereka untuk dinilai barisan hadapan penganjuran anugerah berprestij itu.

"Kini, Jawatankuasa Oscar Malaysia ditubuhkan bagi memperhalusi setiap karya berkualiti, khususnya yang menyerlah pada Festival Filem Malaysia (FFM), baru-baru ini, untuk dihantar kepada pihak Academy sebelum 1 Oktober depan.

"Secara tidak langsung, usaha sebegini menyemarakkan semangat pembikinan filem untuk menghasilkan produk berkualiti bertaraf antarabangsa, yang mampu membuka mata luar terhadap industri perfileman negara," katanya ketika ditemui pada sesi bersama media, di sini, petang tadi.

Katanya, jawatan kuasa yang dipertanggungjawabkan membuat penilaian peringkat asas itu dijadualkan mengadakan mesyuarat pertama, esok.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan FINAS, Khalidah Mat Darus.

Kamil berkata, keutamaan sememangnya diberikan kepada finalis kategori Filem Terbaik FFM ke-27 yang berlangsung pada 5 September lalu, namun judul filem yang dipilih hanya akan diumumkan selepas mesyuarat Jawatankuasa Oscar Malaysia berlangsung.

Tambah beliau lagi, walaupun setiap negara hanya boleh menghantar sebuah filem untuk kategori Filem Bahasa Asing Terbaik, beberapa judul lain juga tetap diajukan untuk dinilai bagi kategori lain, termasuk teknikal.

"Kita perlu memperhalusi setiap filem yang disenarai pendek pada peringkat kami. Melihat finalis pada FFM, kita boleh mengukur potensi yang ada kerana setiap satu mempunyai kelebihan tersendiri.

"Inilah antara usaha FINAS untuk pembangunan industri filem tempatan biarpun awal-awal dulu masih ada yang tertawa sinis," katanya.

Terdahulu, pada tahun 2004, filem Puteri Gunung Ledang dihantar untuk dipertandingkan, namun sejak itu tiada lagi judul lain dibawa ke sana hingga 2012 apabila Bunohan mewakili negara. Bagaimanapun, kedua-duanya gagal melepas senarai lima terakhir kategori filem asing.

Sementara itu, FINAS juga akan mengadakan perbincangan dengan persatuan berkaitan mengenai rasa tidak puas hati Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) terhadap penganjuran FFM27 apabila ada calon bertanding bukan ahli persatuan terbabit.

Akui Kamil, sesi berkenaan dijadualkan berlangsung di Kompleks FINAS, Hulu Kelang, pada 18 September ini.

Berita Harian X